RM32 juta yang dibayar oleh syarikat perkapalan Jepun kepada sebuah ejen di Hong Kong yang didakwa ada kaitan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya, disifatkan oleh mereka yang terbabit dalam perniagaan balak sebagai 'baru bunga-bunganya sahaja'.

"Realitinya, balak dariSarawak bukan sahaja dieksport ke Jepun tetapi juga ke Korea, Taiwan dan beberapa negara lagi.

"Terdapat syarikat luar persisir yang lain di samping (ejen di Hong Kong) Regent Star, yang menerima bayaran sogokan atau 'rebet' dari syarikat perkapalan sejak 1981," kata seorang pengarah syarikat perkapalan di Sarawak kepada malaysiakini hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar Japan Times Khamis lalu mengenai sembilan syarikat perkapalan yang dituduh oleh kerajaan Jepun mengelak bayaran cukai kerana gagal melaporkan mengenai pendapatan 1.1 bilion yen (RM32 juta), yang didakwa telah dibayar sebagai sogokan kepada Taib dan keluarganya.

Bayaran tersebut dibuat kepada Regent Star di Hong Kong, yang dikatakan ada kaitan dengan Taib, sejak tempoh tujuh tahun sehingga Mac tahun lalu.

Menurut laporan akhbar itu lagi, syarikat-syarikat berkenaan termasuk syarikat perkapalan Mitsui OSK. Kinkai Ltd dan NYK-Hinode Line Ltd telah menafi melakukan sebarang kesalahan.

Menurut mereka, perbelanjaan itu sah mengikut satu perjanjian antara kartel perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak ke Jepun, dengan Dewaniaga sebuah syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri pada 1981.

Sebelum Sarawak memutuskan untuk mengenakan kuota eksport balaknya, negeri itu telah mengeksport sehingga 1.5 juta kubic meter balak sebulan atau kira-kira 18 juta kubik meter setahun menjadikannya ia salah sebuah pengeksport balak terbesar di dunia.

Bayar komisyen

Menurut maklumat dari sumber-sumber industri, pemilik pengangkutan balak mesti mendaftar terlebih dahulu dengan Dewaniaga Sarawak yang mempunyai pejabat di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak.

Mengenai pendaftaran, syarikat perkapalan dikehendak membayar komisyen AS$2.50 hingga AS$3 (RM8.60 hingga RM10) bagi setiap kubik meter balak bergantung kepada jenis kayunya kepada syarikat luar pesisiran yang dipilih, yang didakwa ada kaitan dengan para pegawai di Sarawak.

Sebagai tambahan, pemilik syarikat perkapalan yang mahu mengangkut balak untuk dieksport, dikehendaki melantik agensi perkapalan yang berkaitan dengan keluarga Taib Archipelago Shipping sebagai ejen tunggal kepada syarikat perkapalan yang mengambil balak dari tiga pelabuhan utama Sarawak Tanjung Mani, Bintulu and Miri.

Arahan supaya menggunakan Archipelago Shipping sebagai ejen eksklusif itu, telah menjejaskan banyak syarikat perkapalan tempatan yang lain.

Menurut bekas pengarah urusan sebuah agensi perkapalan, yang tidak mahu namanya disebut, syarikatnya pada masa itu bertindak sebagai ejen kepada kapal asing yang berlabuh di pelabuhan Sarawak tetapi tidak memiliki kapal pengangkut balak.

Oleh itu, katanya, syarikatnya tidak boleh bertindak sebagai ejen pengendali bagi kapal-kapal pengangkut balak.

Archipelago Shipping telah menukarkan namanya kepada CMS Transportation Sdn Bhd.

Berdasarkan kepada purata bayaran 'komisyen' pengangkutan AS$3 setiap kubik metrik, katanya, jumlah 'rebet' yang dibayar oleh kartel tersebut dianggarkan sehingga RM189 juta setahun, sewaktu kemuncak perdagangan balak pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Menurut beliau lagi, pemilik kapal pengangkut balak tiada pilihan kecuali mengenakan kos tambahan bayaran komisyen kepada pembelinya.

"Apa yang anda panggil pendapatan yang tidak sampai kepada kerajaan? Ini adalah satu kes rasuah yang sangat jelas!" katanya.

Rahsia umum

Ia juga merupakan satu rahsia umum dalam dunia perniagaan balak di Asia Tenggara, terutama di Malaysia dan Indonesia, di mana pengeksport mengambil sebahagian daripada keuntungan mereka di luar pesisiran, melalui 'harga pindahan' untuk mengelak membayar cukai pendapatan.

Di Indonesia, kerajaannya telah memperkenalkan 'semakan harga' ke atas eksport balak dalam usahanya mengelak perbuatan tidak membayar cukai, tetapi ianya tidak berkesan kerana kurang penguatkuasaan.

Harga pindahan merupakan sistem yang diwujudkan dalam dunia perniagaan balak, terutama oleh pengeksport, di mana pembeli dari seberang laut membayar harga penuh balak melalui negara ketiga dan sebahagian daripada keuntungan itu disimpan dalam akaun luar persisiran syarikat-syarikat atau individu tertentu.

Sumber-sumber berkata, negara pengeksport balak telah kehilangan "beratus bilion ringgit akibat perbuatan mengelak cukai tersebut sejak tiga dekad yang lalu".

Seorang akauntan berpengalaman dalam pengauditan, ketika dihubungi malaysiakini, bertanya mengapa pihak berkuasa percukaian negara tidak mengikut jejak langkah Jepun dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengeluar dan pengeksport balak di negara ini. Berita asal