Ibrahim Ali menyelar dan menyifatkan PAS sebagai parti auta susulan kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin terhadap penyertaan Dr Mahathir Mohamad ke parti Putra.

Presiden Putra itu berkata bekas perdana menteri itu memilih Putra kerana ia sebuah parti yang dilihat bersih, bermoral, berintegriti dan bukan parti auta.

“Hashim Jasin mengatakan Tun (Mahathir) pilih parti kecil, jelas menghina Putra. Sudah berasa kononnya PAS dah kuat. Dulu pada 1978, PAS hanya tinggal dua kerusi sahaja.

“Putra baru berusia empat tahun dan dua tahun akibat Covid-19 tidak dapat bergerak. Putra bukan parti pimpinan hipokrit dan munafik, walaupun masih kecil dan tidak sekali menjual atau menguna agama Islam sebagai modal politik.

“Putra adalah parti lurus dan jujur dan bukan parti auta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Hashim dilaporkan berkata langkah Dr Mahathir menyertai Putra tidak tepat kerana masih terdapat parti lain yang lebih kukuh dalam memperjuangkan kepentingan Melayu, agama Islam, raja-raja dan Perlembagaan.

“Saya rasa tak berapa tepat (Mahathir sertai Putra), kerana bukan dasar parti itu tak elok, tapi dahannya dah reput,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata dia berasa terkejut dengan kenyataan Hashim yang bercakap seperti seorang yang tidak berilmu dan memahami demokrasi.

“Mungkin pada Hashim seperti kempen PAS sebelum ini, hanya menjadi ahli dan undi PAS sahaja boleh masuk syurga.

“Hashim tidak wajar mempersoalkan ketajaman pemikiran Dr Mahathir sebagai seorang intelektual, berilmu, tokoh pemikir dan sarat dengan pengalaman dalam membuat keputusan politik hala tujunya perjuangannya memilih Putra,” jelasnya yang dikenali sebagai Tok Him.