Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu gaji penjawat awam diutamakan bila pendapatan negara meningkat'

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kenaikan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik.

Berucap di majlis perjumpaan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini, Anwar berkata kenaikan skim gaji tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan semasa.

"Bila pendapatan bertambah skim gaji menjadi keutamaan, insya-Allah," kata Anwar, sambil menambah ia tidak dapat dilaksanakan dalam bulan ini.

Namun, dia berjanji akan memberikan beberapa perkembangan positif mengenai pendapatan negara pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Khamis ini.

"Masa penggulungan, saya akan memberikan beberapa gambaran yang positif, yang baik dari segi hasil dan pendapatan negara, dari segi jumlah pelaburan yang sebenar," katanya lagi.

Terdahulu, Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan Belanjawan 2023 tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam.

Presidennya Adnan Mat berkata Cuepacs kecewa apabila belanjawan yang dibentangkan tidak menyentuh isu kenaikan gaji penjawat awam.

Susulan itu, Anwar meminta Cuepacs agar bersabar sementara ekonomi negara kembali stabil dan memberitahu bahawa pada masa ini lebih penting untuk membantu golongan miskin tegar seperti nelayan dan petani yang lebih teruk terjejas.

Sementara itu, Anwar berkata kepantasan jentera penjawat awam dalam menghadapi musibah banjir membuktikan mereka dapat menguruskan bencana tanpa perlu menunggu arahan.

Dia turut berharap ia dapat dikekalkan dalam melakukan persediaan jika banjir melanda Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS