'PGRS parti pertama tinggalkan PM jika kemelut politik tercetus'
Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) akan menjadi parti pertama meninggalkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim jika politik negara bergolak sekali lagi, kata Ketua Penerangan Warisan, Mohd Azis Jamman.
Jelasnya, sokongan PGRS ataupun sebelum ini dikenali sebagai GRS terhadap Anwar hanyalah selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan ahli Parlimen Tambun itu sebagai perdana menteri.
"Umum mengetahui PGRS yang baru dilancarkan pun hanya menyokong Anwar Ibrahim apabila Agong menitahkan bahawa Tambun di perkenan mengetuai kerajaan perpaduan.
"Percaya atau tidak, jika berlaku pergolakan sekali lagi di peringkat pusat, yakinlah PGRS atau GRS sekali lagi akan menjadi parti pertama yang akan meninggalkan Tambun sebagaimana mereka tinggalkan Dr Mahathir (Mohamad) dan Muhyiddin (Yassin).
"Pada pilihan raya yang lepas, terbukti walaupun Warisan berada di pihak pembangkang dan di 'keroyok' namun Warisan masih mendapat undi terbanyak dari segi peratus berbanding parti-parti lain termasuk GRS," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu katanya, dakwaan bahawa wakil rakyat Warisan yang bertindak keluar parti membawa ribuan ahli parti itu adalah tidak benar sama sekali.
Kelmarin seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan bertindak keluar parti dan menyertai PGRS.
Adun Karamunting, George Hiew Vun Zin menjadi wakil rakyat kelima dari Warisan yang bertindak meninggalkan parti pimpinan Mohd Shafie Apdal itu.
George memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Empat Adun keluar Warisan bulan lalu ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas).

Berikutan perkembangan terbaru itu, Warisan kini memiliki 14 Adun, termasuk dua bekas Adun DAP daripada 23 Adun selepas PRN 2020.
Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, dakwaan bekas wakil rakyat yang meninggalkan Warisan turut membawa ribuan ahli parti adalah bertujuan untuk menjamin supaya dipilih kembali untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang oleh parti baru.
Katanya mereka yang keluar hanya beberapa orang kerana ‘mahu mencari makan”, manakala yang memahmi perjuangan Warisan memilih untuk terus setia bersama parti.
Azis berkata Warisan tidak menafikan ada ahli yang keluar meninggalkan parti itu, namun tidaklah sebagaimana yang digambarkan.
"Saya tidak bercadang untuk mencantas usaha kawan-kawan yang telah keluar yang ingin cari makan dan cari tempat di parti baru mereka apabila mereka mengumum ribu-ribu keluar mengikut mereka agar bos baru mereka yakin dan percaya yang mereka punya pengikut yang ramai.
"Sebagai ahli dalam parti Warisan, kita tahu berapa ahli kita dan siapa ahli kita.
"Oleh yang demikian, bagi yang telah keluar selamat maju jaya saya ucapkan kepada rakan-rakan dan berharap jumlah pengikut ribu-ribu itu memudahkan Hajiji (Noor) meluluskan permohonan mereka malah mencalonkan mereka semula di kerusi yang hakikatnya telah di menangi oleh Warisan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/30d25ab300a6d1498d5f5c38340067a0.jpg)
