Cakap hal berfaedah bukan isu lapuk - Zaid 'sekolahkan' Mukhriz
Bekas menteri, Zaid Ibrahim meminta Mukhriz Mahathir supaya bercakap hal yang berfaedah berbanding mengulas “isu lapuk” seperti pemansuhan sekolah vernakular.
“Hanya ahli politik yang tidak mempunyai apa-apa yang berguna untuk diperkatakan akan membangkitkan isu sekolah vernakular.
“Sekolah-sekolah itu mendapat sokongan daripada kerajaan sejak Merdeka dan secara politik mustahil untuk memansuhkannya,” katanya kepada Malaysiakini.
Sambil menegaskan sekolah vernakular harus dikekalkan , Zaid berkata pengharamannya boleh membawa kepada perpecahan yang serius dan kesan kepada ekonomi.
“Saya cadangkan Mukhriz bercakap lebih banyak tentang perkara yang penting, seperti cara meningkatkan gaji, dan cara mengurangkan graduan daripada bergantung kepada Grab untuk menambah pendapatan mereka.
"Lebih baik memikirkan bagaimana untuk menghasilkan makanan yang mencukupi untuk negara," tambahnya.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Mukhriz yang juga presiden Pejuang berkata faktor yang memecahbelahkan rakyat seperti sekolah vernakular mesti dimansuhkan sebelum membayangkan orang bukan Melayu dilantik menjadi perdana menteri.

“Kewujudan sekolah vernakular khususnya mewujudkan aliran pengajaran tersendiri yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan anak-anak kita.
"Pengasas negara kita tidak akan bersetuju untuk membiarkan sekolah vernakular zaman British terus beroperasi selepas Merdeka, kerana mereka tahu ia akan mewujudkan lebih banyak perpecahan antara rakyat," katanya.
Minggu lalu, bapanya, Dr Mahathir Mohamad, berkata orang Melayu kini telah kehilangan kawalan politik dan ekonomi di negara ini.
Sebelum ini beberapa pihak, termasuk peguam Haniff Khatri Abdulla yang pernah mewakili Mahathir dalam kes lain, mencabar kewujudan sekolah vernakular dari sudut perlembagaan.
/file/1193/55bc92046e20997ec97bc3779beff937.jpeg)
