Muhyiddin Yassin berkata dia tidak akan mengajak orang ramai turun ke jalan raya bagi membantah pendakwaan terhadapnya yang didakwanya sebagai “pemangsaan politik terancang”.

“Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk  mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid-19. 

“Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu  membebankan rakyat untuk membela diri saya. 

“Kita semua mesti patuh  kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara,” kata bekas perdana menteri itu dalam sidang media selepas dituduh di mahkamah hari ini.

Dia bagaimanapun berkata hanya mengharapkan titipan doa penyokong supaya diberikan keadilan dan dilindungi oleh Allah.

“Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. 

“Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil,” katanya.

Dia juga menyeru ahli-ahli Bersatu, penyokong Perikatan Nasional dan rakyat seluruhnya supaya bertenang dan memberinya peluang membela diri melalui proses undang-undang.

Muhyiddin pagi ini dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Dia dituduh menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Salah satunya ialah Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan Syed Mokhtar Shah Syed Nor (99 peratus kepentingan) dan isterinya Sharifah Zarah Syed Kechik. 

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram dia dituduh menerima RM120 juta daripada kegiatan haram daripada Bukhary Equity antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Anggota parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi kes pengubahan wang haram dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Dia hari ini–yang dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan di Shah Alam–membayar wang jaminan RM2 juta.