Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kebangkitan rakyat dalam menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini dijangka lebih besar daripada gerakan reformasi yang berlaku sekitar 25 tahun lalu.

Ahli Majlis Tertinggi PN, Takiyuddin Hassan berkata dia menjangkakan rakyat akan bangkit menentang segala kerosakan yang dilakukan kerajaan hari ini menerusi “Gelombang Abah”.

Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung PAS berkata ini juga akan diterjemahkan­ pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Saya rasa apa (pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin) yang berlaku ini akan menambah lagi sokongan kerana rakyat memahami apa yang berlaku.

“Dan ini akan diterjemahkan dalam enam PRN akan datang. Kalau ada pihak menggunakan gerakan reformasi untuk mendapatkan sokongan, ini adalah lebih daripada reformasi, itu boleh saya katakan.

“Kami akan terus bersama dengan Muhyiddin,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan mahkamah, hari ini.

Takiyudin berkata demikian ketika mengulas enam pertuduhan babitkan RM232.5 juta yang dikenakan ke atas Muhyiddin.

Tuduhan bebentuk politik

Reformasi adalah sebuah gerakan protes yang bermula pada September 1998 di seluruh negara susulan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan penyingkirannya daripada Umno oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga adalah ahli Parlimen Kota Bharu, berkata PN yakin pertuduhan terhadap Muhyiddin semata-mata berbentuk politik.

“Kita akan berdepan dengan kes yang dihadapkan kepada pengerusi PN. 

“Kami PN yakin bahawa pertuduhan yang dikenakan ini adalah pertuduhan berbentuk politik, jadi kita yakin kita dapat menghadapi tuduhan-tuduhan ini dengan sebaiknya dan kita boleh menjangkakan keputusan yang akan keluar dari perkara ini,” katanya.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, 75, hari ini didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Jika dibuktikan bersalah, ahli parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Manakala bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah rasuah terbabit atau RM5 juta, atau mana yang lebih tinggi.

Orang derma

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin juga bersependapat dengan Takiyuddin bahawa pendakwaan berkenaan berbentuk politik.

“Macam yang kita beritahu semalam, ini pendakwaan politik. Ini tidak adil kerana semua pertuduhan itu telah terbukti Tan Sri (Muhyiddin) langsung tidak terlibat kerana ramai orang yang menderma kepada parti.

“Sebab itu pada kita, ia adalah merupakan pendakwaan terpilih hanya semata-mata nak tunjuk seolah-olah macam presiden Bersatu ini melakukan kesalahan tapi kami yakin kita akan tentukan selepas ini kita akan menang dalam perbicaraan nanti,” tegasnya.

Jangan ikut telunjuk kerajaan

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu pula menggesa pihak berkuasa tidak mengikut telunjuk kerajaan dalam menentukan keadilan buat Muhyiddin. 

“Apabila mendengar pertuduhan-pertuduhan telah dilontarkan kita amat yakin bahawa abah kita tak bersalah. 

“Kita yakin semua terlibat dengan pendakwaan mereka telah buat siasatan akan jalankan tanggungjawab demi rakyat kerana Allah SWT.

“Kita yakin mereka tidak akan ikut telunjuk pemimpin-pemimpin yang rakus nak pertahankan kuasa takut dengan PRN yang akan berlaku di enam negeri. 

“Pemimpin-pemimpin bacul ini tidak perlu dengar segala perintah mereka,” katanya.

Kata bekas menteri belia dan sukan itu, dia juga berharap rakyat bersama-sama mendoa agar Muhyiddin mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Saya harap semua ahli Armada, Ahli Srikandi seluruh umat Islam seluruh rakyat di Malaysia sama-sama munajat dan solat hajat memohon Allah SWT agar beri kemenangan kepada abah kesayangan kita,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS