Guan Eng harap Bank Negara tak naikkan OPR tahun ini
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berharap Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rasa peduli kepada golongan B40, M40 dan peniaga kecil dengan tidak menaikkan kadar faedah sepanjang tahun ini.
Lim mengalu-alukan keputusan BNM untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus semalam, dan berharap ia kekal sepanjang 2023.
"Ini adalah berita yang baik kepada ekonomi Malaysia dalam menghadapi jangkaan pertumbuhan global yang perlahan dan tekanan inflasi yang sederhana, di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Pertumbuhan ekonomi di Malaysia akan merosot daripada 8.7% tahun lepas kepada 4.5% tahun ini, manakala inflasi dijangka purata antara 2.8-3.8% tahun ini berbanding 3.3% tahun lepas. Indeks harga pengguna (CPI) Malaysia pada Januari tahun ini meningkat 3.7% daripada tahun sebelumnya, berbanding 3.8% pada Disember 2022," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, kata Lim, tidak ada keperluan mendesak bagi bank pusat meningkatkan OPR seperti yang dilakukan tahun lepas, kerana ia berusaha untuk meredakan inflasi di tengah-tengah pertumbuhan yang kukuh.
"Pada Januari tahun ini, BNM mengejutkan ramai pihak dengan tidak menaikkan OPR, mengurangkan beban kos kadar faedah yang lebih tinggi ke atas peminjam individu dan PKS.
"Dengan BNM tidak meningkatkan OPR lagi bulan ini, DAP berharap BNM dapat menunjukkan sikap pedulinya kepada kumpulan B40 dan M40, dan PKS dengan tidak meningkatkan OPR sepanjang tahun ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/e6899936cddb8cbe7f4c63d4122bc254.jpg)
