Kementerian Kesihatan diminta menjelaskan jika kerajaan akan menawarkan imbuhan yang sewajarnya kepada penyertaan klinik perubatan am swasta (GP) dan doktor kontrak  bagi menjayakan inisiatif melanjutkan operasi selepas waktu pejabat.

Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK), yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata mereka juga ingin tahu bagaimana kerajaan merancang untuk melaksanakan inisiatif itu dan jika ada dana akan diperuntukkan supaya GP boleh membuat tuntutan daripada kerajaan .

Sambil mengakui bekerja berjam-jam bukan perkara baharu, mereka berkata kementerian mesti mempunyai perancangan dan arahan yang betul bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Melibatkan GP dalam inisiatif ini adalah baik. Namun, bagaimanakah pelaksanaannya?

“Berapa lama ini akan dilakukan? Adakah mereka melakukan kajian rintis di tempat lain dan apakah hasilnya?

“Apakah jenis-jenis kes yang akan ditangani di klinik kesihatan selepas waktu pejabat? Adakah pendidikan akan diberikan kepada orang ramai mengenai perkara ini terlebih dahulu?” soal mereka.

Para doktor itu mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa agar GP dan doktor kontrak menyokong serta bekerjasama dengan kementerian dalam usaha mengurangkan bebanan kerja dalam kalangan pekerja kesihatan, serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Doktor kontrak telah berdepan dengan “keletihan” sejak 2016, dan terpaksa bekerja lebih 24 jam sehari dan menangani kerja lebih masa tanpa sebarang bayaran.

Isu mengenai elaun kecil yang dibayar kepada GP untuk kerja atas panggilan atau bekerja lebih masa juga meresahkan para doktor di negara ini, dan mencetuskan krisis dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Semalam, Dr Zaliha dilaporkan berkata langkah itu dapat membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital.

Kementerian mengumumkan lanjutan waktu operasi di 52 klinik kesihatan di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital.

Waktu operasi klinik kesihatan di Lembah Klang dilanjutkan dari 5 petang hingga 9.30 malam, dari Isnin hingga Jumaat. Ia akan dibuka dari jam 8 pagi hingga tengah hari pada hari Sabtu.

Di Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi dilanjutkan dari 5 petang hingga 9.30 malam dari hari Ahad hingga Khamis. Ia akan dibuka dari jam 8 pagi hingga tengah hari pada hari Sabtu.