Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa Pemilihan Umno sahkan kemenangan 3 pemimpin sayap

Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) hari ini mengesahkan kemenangan tiga pemimpin sayap parti itu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pengerusi JPU, Shahrir Samad yang mengumumkan keputusan pemilihan sayap mengesahkan Noraini Ahmad memenangi jawatan ketua Wanita Umno dengan mendapat sokongan 112 undi bahagian.

Dr Muhamad Akmal Saleh memenangi kerusi ketua Pemuda Umno dengan 122 undi bahagian, manakala Nurul Amal Fauzi dinobatkan sebagai ketua Puteri Umno dengan selepas mendapat 89 undi.

"Pada 12 tengahari tadi telah selesai proses penjumlahan undi dan laporan jumlah undi diterima dalam pemilihan tiga  sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

"Dua bahagian iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu terkecuali daripada mengadakan pemilihan dan mensyuarat bahagian masing-masing. Kira-kira 164 perwakilan terbabit dalam pemilihan kali ini.

"Keputusan akhir lambat kerana ada bahagian yang lewat hantar keputusan ke bilik gerakan. Pemilihan Puteri menyaksikan tiga bahagian tidak terlibat dengan pemilihan selain daripada Tanah Merah, Kota Kinabalu, bahagian Batu Kawan juga tidak terlibat pemilihan.

"Pemuda pula empat bahagian tak terlibat pemilihan, selain Tanah Merah, Kota Kinabalu, bahagian Titiwangsa dan Semporna juga ditangguhkan mesyuarat mereka. Di peringkat Wanita tiga bahagian terima Tanah Merah, Kota Kinabalu dan Kuala Kedah tidak terbabit pemilihan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi JPU, Mustapha Yaakub.

Shahrir berkata jawatan naib ketua Pemuda Umno menyaksikan persaingan sengit apabila exco kerajaan negeri Johor, Hairi Md Shah memenangi jawatan itu dengan majoriti tipis tiga undi.

Hairi ini menewaskan pesaingnya bagi jawatan itu, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

"Naib ketua Pemuda Hairi mendapat 87 undi bahagian, menewaskan secara tipis (dengan) tiga bahagian kepada pencabarnya iatu saudara Ikmal Hazlan.

"Kemenangan Hairi bagi jawatan naib ketua ditentukan jam 12 tengahari hari tadi apabila keputusan bahagian-bahagian dapat dipenuhi," katanya lagi.

Jawatan naib ketua Wanita Umno dimenangi Norliza Abdul Rahim dengan 123 undi bahagian, manakala naib ketua Puteri Umno dimenangi Siti Sokhleha Nordin.

Sementara itu, Shahrir berkata JPU memberi tempoh selama tiga hari sehingga esok untuk mengemukakan sebarang bantahan terhadap pemilihan yang telah berlangsung.

Katanya pihaknya ada menerima bantahan di beberapa bahagian dan siasatan sedang jalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS