Mesyuarat parlimen ditempohkan 10 minit sebelum undi belah bahagi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul membuat keputusan untuk menempohkan mesyuarat dewan itu selama 10 minit sebelum setiap proses belah bahagian dilaksanakan.
Katanya ketetapan itu dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan kali ini.
Johari berkata mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang dihadiri Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Rafizi Ramli (PH-Pandan) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bersetuju dengan langkah itu bagi menambah baik proses belah bahagian.
"Ia termasuk mengambil kira jarak perjalanan di antara blok utama, blok ini yang menempatkan Dewan Rakyat dengan blok ahli parlimen yang ada di belakang itu yang agak jauh, maka sukar bagi semua yang berhormat untuk berada dalam dewan dalam masa dua minit seperti yang termaktub dalam peraturan mesyuarat," katanya.
Menurut Johari setiap kali sebelum proses belah bahagian, loceng akan dibunyikan selama dua minit dan persidangan mesyuarat akan ditempohkan selama 10 minit bagi memberi masa kepada semua ahli parlimen berada dalam dewan untuk mengambil bahagian dalam proses tersebut.
Katanya selepas ditempohkan itu loceng akan dibunyikan sekali lagi selama dua minit bagi membolehkan persidangan dan proses belah bahagian dilaksanakan.
"Maksudnya loceng pertama berbunyi dua minit itu loceng seperti yang termaktub dalam peraturan mesyuarat.
"Selepas itu saya akan beri 10 minit (masa) untuk yang berhormat bergerak dari mana pun untuk berada dalam dewan ini. Selepas itu loceng akan dibunyikan sekali lagi selama dua minit.
“... isunya saya masih ingat lagi dalam persidangan yang lepas, masa yang dibunyikan loceng itu tak cukup (untuk ahli parlimen) sampai ke sini (dewan).
"Ada kes yang seorang ahli parlimen wanita terjatuh disebabkan bergegas. Mengambil kira keadaan itu saya beri 10 minit," katanya.
Johari berkata perkara tersebut dilaksanakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 12 (2), 13 (4) dan 99.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/d17b9d9d34843bf9f137465ee300c36f.jpg)
