Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setiausaha politik Anwar lapor polis terhadap Muhyiddin
Diterbitkan:  Mar 13, 2023 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Setiausaha politik kepada menteri kewangan membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kerajaan menggunakan agensi penguatkuasaan untuk melakukan penganiayaan politik.

Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan itu yang dikeluarkan selepas presiden Bersatu itu didakwa pada Jumaat lalu adalah fitnah.

"Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa beliau telah membuat pertuduhan dengan mendakwa bahawa pendakwaan ke atas beliau dibuat berdasarkan arahan perdana menteri yang telah menggunakan agensi penguatkuasaan sebagai alat untuk mendakwa beliau dan pendakwaan yang dibuat adalah merupakan suatu pendakwaan terpilih, bermotif politik dan suatu bentuk penganiayaan yang memberikan gambaran bahawa wujudnya unsur campur tangan dalam proses siasatan dan pendakwaan ke atas beliau," ujarnya dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini .

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin didakwa atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta - yang didakwa diperoleh daripada tiga syarikat dan seorang individu semasa dia menjadi perdana menteri.

Presiden Bersatu itu dan penyokongnya membayangkan dana berkenaan merupakan sumbangan politik.

Muhyiddin dikenakan satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta berkaitan program Jana Wibawa hari ini.

Dalam laporan polisnya, Muhammad Kamil berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara telah menafikan berlaku campur tangan politik berkait pendakwaan terhadap Muhyiddin.

Justeru, dia menggesa pihak polis menyiasat Muhyiddin berhubung kenyataan berunsur fitnah itu.

Disember lalu, Anwar menafikan dirinya mengarahkan pihak polis menyiasat musuh politiknya.

Kata Anwar, orang ramai dibenarkan mengkritik perdana menteri dan kerajaan, dan dia akan menjawab segala persoalan yang dilontarkan serta bukannya mengarahkan polis menyiasat mereka.

“Saya tidak pernah arahkan, malah (saya) beritahu Ketua Polis Negara bahawa kritikan kepada perdana menteri dan kerajaan dalam sistem demokrasi itu diizinkan, seperti mana saya juga akan guna ruang itu untuk menjawab,” katanya.

Sebaliknya, sejak itu Anwar bertindak menyaman pengkritiknya dalam pembangkang.

Lihat Komen
ADS