Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Impact Malaysia KBS nafi anjur program 'Kristian evangelis'
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 8:00 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Impact Malaysia menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menganjurkan program "Kristian evangelis".

Penafian itu susulan pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin yang membuat dakwaan itu di media sosial, berkaitan program dinamakan "Projek Artikel 11" anjuran Impact Malaysia.

Naib Presiden (Strategi dan Pembangunan) Impact Malaysia Mastura M Rashid berkata dakwaan itu tidak benar.

Mastura berkata, "Projek Artikel 11" adalah sebahagian daripada inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

"Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Program di Masjid Wilayah

"Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan," katanya dalam kenyataan semalam.

Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu.

Program di Gurdwara Sahib di Shah Alam

Dua program yang dijadual diadakan adalah "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu", masing-masing pada 18 dan 19 Mac ini.

"Impact Malaysia mengalu-alukan penyertaan daripada rakyat Malaysia untuk menyertai program Projek Artikel 11," katanya, sambil menambah sesiapa yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai program mereka boleh mendapatkannya di laman media sosial Impact Malaysia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata setiausaha politiknya telah membuat laporan polis terhadap Badrul.

"(Badrul) memberikan gambaran bahawa agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan sekarang menjadi Kristian evangelis selepas saya menjadi menteri," katanya di Twitter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS