BN kekalkan kerusi Machap, tapi majoriti merosot
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tetapi majoriti yang diperolehinya berkurangan daripada keputusan pilihanraya umum 2004.
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tetapi majoriti yang diperolehinya berkurangan daripada keputusan pilihanraya umum 2004.
Calon BN, Lai Meng Chong, memperolehi 5,533 undi merosot 314 undi daripada 2004 manakala calon DAP, Liou Chen Kuang, mendapati 1,452 undi bertambah 167 undi.
Majoriti yang diperolehi oleh calon BN kali ini 4,081 undi merosot sebanyak 481 undi berbanding majoriti 4,562 undi dalam pilihanraya umum 2004.
Sebanyak 74.35 peratus daripada sejumlah 9,623 pengundi di DUN Machap keluar mengundi hari in. Peratusan tersebut naik sedikit berbanding 74.33 peratus dalam pilihanraya umum lalu.
Sebanyak 19 saluran mengundi di lapan pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.
Pusat-pusat mengundi ialah di Melaka Pindah, Machap Umbor, Machap Baru, Ayer Pasir, Solok Menggong, Kemuning, Felda Hutan Percha dan Tebong.
Pengiraan undi dijalankan di pusat-pusat mengundi sebelum penjumlahan undi dan pengumuman keputusan dibuat di Kompleks Japerun Machap oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya itu, Hasim Ismail pada kira-kira jam 8.22 malam ini.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, pada 15 Mac.
Reaksi
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, ia dapat dilihat daripada majoriti meyakinkan yang diperolehi oleh calon BN dalam pilihanraya kecil kali ini.
Najib juga menolak dakwaan pembangkang berlaku perbuatan membeli undi dalam pilihanraya kecil Machap.
Abdullah pula berkata, kekurangan majoriti calon BN itu adalah biasa apabila lebih ramai pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Machap hari ini.
Bagaimanapun, katanya, perlu dihalusi mengapa jumlah undi yang diperolehi oleh calon pembangkang kali ini telah bertambah.
Manakala Presiden MCA pula, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata kepimpinan bersama Abdullah dan Najib dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, telah memberi impak yang besar kepada kemenangan calon BN dari MCA itu.
Sementara itu Mohd Ali berkata, kemenangan calon BN dengan majoriti yang besar menunjukkan sokongan kuat rakyat, khususnya di Machap, terhadap kerajaan.
Calon DAP, Liou Chen Kuang pula memberitahu
malaysiakini
bahawa beliau kecewa dengan keputusan tersebut dan berharap Lai akan akan bekerja kuat untuk kebaikan penduduk Machap.
"Ini adalah pilihan pengundi. Kita telah bekerja kuat dan agak kecewa dengan keputusan hari ini," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kemenangan Lai itu bukan satu kemenangan terhormat untuk BN.
Katanya, ini kerana pilihanraya kecil kali ini didakwanya dicemari dengan perbuatan membeli undi, mengugut dan sogokan.

