Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'gor larang program libatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain
Diterbitkan:  Mar 15, 2023 5:19 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Kerajaan negeri Selangor menyambut baik program berbentuk kefahaman dan toleransi antara agama, namun mengingatkan program sedemikian perlu mengikut garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kata exco Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

"Usaha tersebut (program toleransi antara agama) disambut baik oleh kerajaan negeri, namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam (Jais) terutamanya melibatkan faktor perundangan.

"Peraturan telah menetapkan bahawa sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain selain rumah ibadat Islam adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin pembangkang mengaitkan program dinamakan "Projek Artikel 11" anjuran Impact Malaysia sebagai program ‘Kristian Evangelis’.

Projek Artikel 11 ialah program yang melibatkan golongan belia yang dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.

Program di Gurdwara Sahib di Shah Alam

Impact Malaysia merupakan agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, menterinya Hannah Yeoh berkata tiada golongan belia beragama Islam yang terlibat dalam program itu.

Walaupun tidak merujuk kepada Projek Artikel 11, Zawawi berkata Jais akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 5 dan 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam).

Seksyen 5 menyebut bahawa seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seorang belum dewasa yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam mana-mana agama bukan Islam; atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah atau aktiviti keagamaan mana-mana agama bukan Islam; atau mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang dijalankan untuk faedah mana-mana agama bukan Islam.

Mereka yang melanggar seksyen ini boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Seksyen 6 menyebut mengenai kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau peruntukan sesuatu mengenai agama lain.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Zawawi berkata mana-mana NGO perlu berhati-hati dalam penganjuran program melibatkan sensitiviti agama dan menghubungi Jais atau Jabatan Mufti Selangor sekiranya terdapat kemusykilan.

"Kerajaan negeri Selangor berharap pihak Jais dan Jabatan Mufti dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak terutamanya berkenaan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS