Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: MP, Adun sepatutnya dilarang pegang jawatan GLC
Diterbitkan:  Mar 15, 2023 6:28 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membidas pelantikan beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan yang disifatkan sebagai tidak selari dengan keputusan kerajaan sebelum ini.

Pengerusinya, Thomas Fann, berkata, selain bercanggah dengan pendirian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan keputusan kabinet sebelum ini, tindakan berkenaan merugikan pengundi.

"Masa dan perhatian mereka (wakil rakyat) akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan Adun sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

"GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.

"Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi," katanya dalam satu kenyataan.

Fann dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, hari ini yang mengumumkan bekas ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub, yang juga adalah pengerusi Umno Kelantan dilantik semula sebagai pengerusi Felcra.

Ahmad Jazlan Yaakub

Disember lalu, Anwar, menangguhkan pelantikan Ahmad Jazlan dengan alasan untuk membolehkan kerajaan melaksanakan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, GLC serta agensi lain.

Baru-baru ini, Zahid turut mengesahkan pelantikan bekas ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Mara, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS