Takiyuddin: Yeoh petik kenyataan pemimpin PAS secara 'tak bermaruah'
PAS menyatakan rasa dukacita terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang didakwa memetik kenyataan-kenyataan pemimpin mereka tanpa menjelaskan konteks sebenar dalam penjelasan bagi isu program Projek Artikel 11.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa kenyataan dipetik Yeoh dibuat tanpa menjelaskan konteks sebenar, selain tiada penerangan tepat berhubung kenyataan tersebut.
“PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam - baik secara individu atau kumpulan - hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat.
"Segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Anggota Parlimen Kota Bharu itu juga mendakwa PAS kesal apabila Yeoh memetik kenyataan-kenyataan itu secara tidak adil atau "tidak bermaruah" dengan menggunakannya sebagai “senjata politik” bagi menimbulkan pertelagahan di antara PAS dengan Bersatu yang merupakan komponen dalam PN.
“Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun Bersatu untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu.
“Apatah lagi menteri berkenaan tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah- olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengannya,” kata Takiyuddin.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Yeoh pada 14 Mac lalu selepas sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dituduh menjalankan program yang berkaitan Kristianisasi.
Menjawab tuduhan tersebut Yeoh membalas dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.
Menjawab persoalan tersebut Yeoh berkata pihak yang membuat "fitnah" terhadap kerajaan wajar mendengar nasihat yang pernah disuarakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Saya cadangkan kepada tukang fitnah di luar sana untuk dengar nasihat... dapatkan nasihat Tuan Ibrahim.
“Tuan Ibrahim ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - beliau sendiri kata, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.
"Timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tidak mempertikaikan mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.
“Saya bukan pakar tetapi saya belajarlah apa yang PAS kata," katanya.

Projek Artikel 11 ialah program yang melibatkan golongan belia dibawa mengunjungi rumah ibadat pelbagai agama sebagai sebahagian daripada usaha Impact Malaysia meningkatkan kesedaran masyarakat majmuk di negara ini.
Takiyuddin berkata program yang dirancang tidak sewajarnya diteruskan oleh pihak berkenaan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan sedia ada selain boleh mengundang bantahan terbuka yang lebih membimbangkan.
Pada asasnya kata Takiyuddin PAS menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.
“PAS mengambil maklum tentang Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah KBS meliputi program Jom Ziarah yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat ibadat pelbagai agama yang dikatakan bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya tentang aspek-aspek agama-agama berbeza di negara ini seterusnya ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.
“Dalam hal berkaitan, PAS menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan program Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan menteri di Parlimen pada 14 Mac 2023
“Selain itu semua pihak termasuk menteri berkenaan perlu akur tentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/bc5633996bafbc827f2ae17fe9486058.jpg)
