Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Doktor perlu beri rawatan tanpa kira kod etika pakaian pesakit’
Diterbitkan:  Mar 16, 2023 4:59 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Petugas dan pengamal perubatan di sektor awam secara prinsipnya perlu memberikan rawatan tanpa mengira kod etika pakaian mahupun latar belakang pesakit.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana setiap petugas perubatan telah mengangkat ikrar ‘Hippocratic Oath’ termasuk kesediaan membantu pesakit sebaiknya.

“Saya maklum mengenai perkara ini termasuk perkara lain yang tular baru-baru ini. Berkemungkinan ia berlaku akibat masalah komunikasi.

Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan

“Kita akan ambil tindakan segera bagi mengelak keadaan daripada berulang jika terima sebarang aduan mengenainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) di Dewan Rakyat hari ini.

Muhammad Bakhtiar mengajukan soalan sama ada rawatan akan diberi kepada pesakit yang tidak memenuhi kod etika pemakaian ketika hadir ke fasiliti kesihatan awam.

Sementara itu, Dr Zaliha turut menjawab soalan asal daripada Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang bertanya tentang Klinik Kesihatan (KK) yang melarang pesakit menggunakan khidmat klinik berkenaan selepas persempadanan semula pilihan raya.

Menjawab soalan itu, Dr Zaliha berkata, anggota kesihatan di ‘triage’ atau kaunter pendaftaran diingatkan untuk tidak menolak kehadiran mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan di KK bagi memenuhi pendekatan ‘No Wrong Door Policy’.

Gambar Hiasan

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, pendekatan itu dilaksanakan melalui Personalised Care (Family Doctor Concept) bagi memastikan penjagaan kesihatan berterusan.

Sehubungan itu, Dr Zaliha berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku pesakit dari luar kawasan persempadanan semula diarah ke KK di kawasan Parlimen yang didiami mereka.

“Jika benar berlaku, mohon buat aduan dan kita akan siasat serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS