Parti Hijau Malaysia (PHM) menggesa exco kerajaan Selangor mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) Negeri Selangor, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, parti itu kesal dengan peranan JPNS yang dianggap sebagai “penjaga hutan” tetapi ‘cuai’ hingga berlakunya 40 kes penerokaan haram dalam HSK di Selangor.

"PHM juga sangat kecewa dengan pihak JPNS dan kerajaan negeri kerana gagal memaklumkan kepada rakyat Selangor tentang cadangan menyahwartakan tujuh kawasan HSK seperti laporan LKAN tersebut," kata Setiausaha Parti Hijau, Abdul Razak Ismail.

"Ini menimbulkan kebimbangan pemegang taruh (stakeholders) bahawa pihak kerajaan negeri akan melakukan siar warta tersebut secara senyap-senyap dan ‘backdated’ seperti kes siar warta Hutan Simpan Bukit Cherakah, Selangor di mana kerajaan negeri telah diheret ke Mahkamah Rayuan pada bulan Mac ini oleh dua NGO alam sekitar," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti melibatkan 40 daripada 76 Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 250,250.33 hektar di seluruh Negeri Selangor

Dalam satu kenyataan pada Selasa lalu, Jabatan Audit Negara berkata HSK berkenaan masih belum melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan luar hutan.

Laporan itu mendedahkan sebanyak 40 kes penerokaan haram dalam HSK direkodkan membabitkan kawasan seluas 3,537.01 hektar iaitu untuk aktiviti pertanian (3,356.67 hektar), penempatan dan infrastruktur (146.08 hektar) dan penternakan (34.26 hektar).

Justeru Abdul Razak (gambar atas) mencadangkan kerajaan negeri melantik beberapa tokoh senior daripada NGO alam sekitar untuk menyertai Jawatankuasa Khas sebagai pemantantau (Ombudsman) hutan simpan di Selangor.

"PHM berpandangan 76 buah Hutan Simpal kekal (HSK) harus dipantau oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), kerajaan negeri dan NGO alam sekitar bagi memastikan ia dilindungi dan dipertahankan untuk generasi akan datang.

"Ia selari dengan saranan ke bawah duli Sultan Selangor yang menyarankan agar Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang memiliki degree dalam Ecology dan Environment Biology untuk memantau dan melipatgandakan usaha mengekalkan kehijauan alam sekitar di negeri Selangor dengan mensasarkan penanaman 11 juta pokok menjelang 2026,” katanya.

Selain itu Abdul Razak berkata JPNS dan kerajaan negeri gagal mendaftar dan mewartakan 9 kawasan hutan baru sebagai HSK melibatkan kawasan seluas 106,754.66 hektar dalam tempoh satu hingga tujuh tahun selepas diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kelewatan yang sama berlaku untuk ‘mewartakan semula’ Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) setelah kerajaan negeri membatalkan rancangan untuk membangunkan HSK tersebut pada bulan September 2021 ekoran campur tangan pimpinan PH, bantahan kuat masyarakat Orang Asli, NGO dan masyarakat prihatin.

"Hingga ke hari ini sudah lebih setahun kerajaan negeri telah gagal mewartakan semula kawasan HSK tersebut,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga terkejut mendengar berita bahawa kerajaan negeri “menganugerahkan” projek pembangunan pelbagai ini kepada sebuah syarikat modal berbayar (Paid-up capital) RM1.00.

"PHM juga mendapat maklumat bahawa HSK tersebut telah ‘dicerobohi’ dengan kerja-kerja pemasangan paip-paip merentasi HSK baru-baru ini dan kerja-kerja ini telah merosakkan sebahagian kawasan di dalam HSK tersebut," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor dan JPNS juga gagal memantau ketidakpatuhan EIA bagi aktiviti kuari melibatkan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong (HSBL) dan beberapa kuari lain.

Antaranya, bekas penyimpanan minyak diletakkan di kawasan terbuka, pengendalian bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan sewajarnya, kesan pembakaran terbuka di tapak kuari dan kualiti air serta udara melebihi had ditetapkan.