Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Bukan cari salah, saya mahu dapatkan semula dana projek disalah urus

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan mengkaji semula lebih banyak kontrak kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan semula dana yang disalurkan kepada projek yang disalah urus.

Dalam ucapan dasar di Kongres Khas PKR hari ini, presiden parti itu meneybut mengenai program Jana Wibawa yang pada mulanya memberi manfaat kepada rakyat tetapi akhirnya menyaksikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menghadapi tuduhan rasuah dan salahguna kuasa.

"Ada projek untuk membantu Bumiputera, seperti Jana Wibawa. Kontraktor mesti Bumiputera, tetapi ada juga Cina.

"Dan kemudian kita lihat kontrak lain, baru sekarang ada bisik-bisik. (Anthony) Loke sebut projek di bawah Kementerian Pengangkutan," kata Anwar merujuk kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menghadiri kongres berkenaan selaku setiausaha agung DAP.

Berucap di hadapan lebih 1,300 perwakilan parti, Anwar juga berkata mungkin terdapat kontrak lain akan disemak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini diterajui Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail selaku menteri.

"Kita mesti fokus untuk membetulkan kesilapan ini. Bukan niat saya untuk mencungkil (kesilapan) tetapi saya mahu mendapatkan semula dana," katanya sambil memetik contoh kontrak tebatan banjir di Johor dan Kelantan yang menyaksikan dana tambahan diperuntukkan selepas semakan.

Dalam ucapannya, Anwar turut mempertahankan penglibatan kerajaan dengan hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary yang dikaitkan dengan skandal Jana Wibawa.

Tidak seperti derma politik kepada Bersatu, Anwar berkata kerajaan sebaliknya meneruskan inisiatif yang menguntungkan rakyat termasuk mencapai persetujuan dengan Syed Mokhtar untuk memberi 30 peratus keuntungan Bernas kepada pesawah.

“Ini (inisiatif) adalah pilihan kita, apa pilihan mereka? RM200 juta masukkan dalam akaun parti, dan entah yang lain saya belum tahu.

"(Sebenarnya), saya tahu tapi saya belum hebahkan," katanya.

Kongres Khas PKR sehari yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, mengumpulkan pemimpin dan ahli parti menjelang pilihan raya negeri akan datang yang dijadualkan pada Jun.

Bertemakan 'Malaysia Madani: Perlaksanaan Idealisme', kongres itu diadakan bagi menggantikan kongres tahunan PKR yang ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.

Lihat Komen
ADS