Tamatkan PLKS, 10,000 perniagaan India mungkin 'tutup kedai' - Kula
Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran membantah keras rancangan untuk menamatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing.
“Kira-kira 10,000 perniagaan India daripada tiga sektor; kedai tekstil, tukang emas dan gunting rambut, mungkin terpaksa menghentikan operasi kerana pas lawatan kerja sementara (PLKS) bagi baki pekerja asing akan ditamatkan secara berperingkat,”
“Sungguh menyedihkan kerana tiada apa yang berubah,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Menteri Dalam Negeri ketika itu Muhyiddin Yassin enggan berganjak daripada pendiriannya mengenai isu berkenaan.
“Saya menjadi menteri ketika itu dan saya boleh buktikan bahawa walaupun saya mendesak perkara itu dan ingin membuat semakan mengenainya, tidak banyak kemajuan dengan beliau.
“Tetapi sebelum kejatuhan kerajaan PH, beberapa perubahan sebenar sepatutnya berlaku.
“Saya berharap Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri yang baru tidak akan “menghukum” perniagaan India ini selepas membuka pengambilan pekerja asing untuk banyak sektor lain,” kata Kulasegaran.
Dia turut mempersoalkan apakah sektor yang kebanyakannya dimiliki oleh etnik India menjadi sasaran dasar tersebut.
“Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa mengenai pekerja asing.
“Jawatankuasa ini telah ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu oleh kabinet ketika itu.
“Oleh itu, saya menyeru Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memanggil segera jawatankuasa bersama dan membatalkan dasar larangan pengambilan pekerja asing dalam pekerjaan tekstil, tukang emas dan tukang gunting rambut,” katanya.
Dia turut menggesa kerajaan menyediakan latihan khas kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran, kemahiran semula (reskilling) dan kemahiran silang (cross skilling) dalam ketiga-tiga sektor ini.
“Lebih awal ini dilakukan lebih awal kita dapat mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
“Kita hanya mempunyai 26 peratus jumlah tenaga kerja mahir berbanding Singapura 60 peratus.
“Kita sentiasa boleh menghapuskan pekerja asing dalam tiga sektor ini jika kita dapat mahirkan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka bekerja dalam sektor ini. Realitinya mereka tidak mahu bekerja dalam sektor ini pada masa ini sebab itu pekerja asing diperlukan,” tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/857cca8cc4d4a9d76783e82fd7abb1b9.jpg)
