Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN ambil tindakan tegas pihak cetus isu kaum - Timbalan menteri
Diterbitkan:  Mar 18, 2023 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan sentimen perkauman demi memelihara keharmonian dan keutuhanan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata setiap rakyat diberikan hak kebebasan untuk bersuara, namun masih tertakhluk kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Berdasarkan undang-undang yang ada, pihak berkuasa akan terus melaksanakan tanggungjawabnya supaya keselamatan dan keamanan negara dipelihara serta keharmonian kaum dalam negara ini dijaga sebaiknya.

“Justeru, diingatkan kepada semua pihak supaya mengelakkan daripada membangkitkan perkara-perkara sensitif terutama berkaitan agama dan kaum di dalam negara ini,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lenggong di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di Lenggong, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha adu domba yang bertujuan menghangatkan suhu perkauman di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Shamsul turut meminta masyarakat menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung isu perkauman yang dicetuskan mana-mana golongan.

“Kita mahu perkara negatif ini dielakkan kerana kepelbagaian budaya, agama dan kaum di dalam negara ini adalah tunjang kekuatan kita bersama,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS