Pasukan Armand Azha Abu Hanifah berjaya menewaskan pasukan Mohd Lokman Hamidi, adik kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam persaingan kepimpinan Umno Bahagian Subang.

“Syukur alhamdulilah ke hadrat Allah SWT diberikan keberkatan bagi kemenangan buat keluarga,” kata Armand dalam hantaran di Facebook.

Armand dan Mohd Lokman tidak bertembung secara langsung tetapi berada dalam pasukan berbeza merebut jawatan tertinggi bahagian Umno itu.

Armand menewaskan pencabarnya Abu Hassan Asha'ari Alang Jaman untuk kekal menyandang jawatan ketua Umno Subang.

Adik Zahid pula tewas dalam perebutan naib ketua bahagian Umno kepada Hazeman Ahmad, calon pasukan Armand.

Sementara itu, setiausaha politik kepada Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri kemajuan desa dan wilayah, Razlan Rafii (gambar, atas) sah menyandang jawatan Ketua Bahagian Umno Seputeh.

Razlan menang dengan majoriti besar 206 undi menewaskan pencabarnya, Mustapa Kamal yang memperoleh 55 sokongan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memaklumkan keputusan pemilihan Umno bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dijangka akan diketahui pada malam ini.

Ahmad yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian berkata pemilihan hari ini, melibatkan sebanyak 189 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

Hanya dua Umno bahagian yang tidak menjalankan pemilihan berikutan digantung akibat masalah tertentu iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.

Pemilihan Umno diadakan bermula pada 1 Feb dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan.

Ia diikuti Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Pusat, diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Pemilihan Umno berakhir hari ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian, bersama pemilihan Ahli MT.

Lihat Komen
ADS