Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya tidak zalimi sesiapa, kata Anwar
Diterbitkan:  Mar 18, 2023 10:29 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berlaku zalim terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata apa yang pernah dilaluinya sebelum ini adalah sesuatu yang sangat sukar dan beliau tidak sanggup melakukan khianat serta fitnah terhadap mana-mana pihak.

“Saya mahu di umur ini dengan kepayahan yang berlaku dahulu itu sebagai peringatan dan pengajaran untuk pastikan tidak ada kezaliman terhadap sesiapa termasuk tokoh-tokoh parti pembangkang.

“Tetapi jangan cari alasan seolah-olah pimpinan parti pembangkang itu tak boleh didakwa,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertema ‘Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ di Stadium Malawati di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri, tumpuan utama bukanlah untuk mendakwa sesiapa sebaliknya mahu membetulkan sistem negara bagi membolehkan Malaysia kembali dapat dipacu dengan lebih hebat.

Anwar berkata bagi tujuan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman perlu dikembalikan menjadi sebuah badan yang bebas serta berintegriti.

“... jangan melindungi perasuah kerana negara kita sudah rosak. Rakyat sepatutnya dapat pembelaan dan negara boleh dipacu lebih hebat tetapi kerana penyakit ini yang menjadi sistem menyebabkan kesemua menjadi rosak.

“Kadang-kadang ketika perbincangan dan renungan bersama badan penguat kuasa, saya tak tahu dari mana nak dimulakan... dalam setiap fail ada masalah.

"Sebab itu kita bingung kenapa hal-hal ini tidak boleh didukung oleh orang-orang yang bersemangat Islam, Melayu atau cintakan negara,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata sekiranya sistem tidak dibersihkan, ia akan menyebabkan lebih banyak ‘kebocoran’ dan oleh yang demikian, Kerajaan Perpaduan tegas untuk tidak melindungi perasuah dan komited melaksanakan tadbir urus yang baik.

“Kalau ada Ahli-Ahli Yang Berhormat negeri atau pusat yang didapati terlibat dalam rasuah, jangan cari saya. Bukan kerja saya untuk melindungi perasuah termasuk daripada (Parti) Keadilan (Rakyat) sendiri.

“Tapi tak adil orang kata kita pilih kasih. Orang itu terlindung sebab ketika itu dia ada kuasa, ramai orang tahu dan kes bukan baru. Inilah masalah kita, kita kadang-kadang cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu sama sekali. Sebab itu saya kata, hal yang pertama adalah hal tatakelola,” katanya.

Gambar fail, kerjasama Barisan Alternatif antara PKR, PAS dan DAP.

Perdana menteri berkata beliau juga tidak mahu politik permusuhan berlaku termasuk dengan PAS kerana parti itu pernah bersama mereka sebelum ini.

“(PAS pernah) menjadi satu pasukan dengan kita. Pimpinan lain tentunya. Naratif juga lain. Pimpinan dahulu kalau soal rasuah dan penyelewangan (mereka) tegas.

"Cara mereka menyerang (kini) di luar batasan etika dan akhlak… apabila kita jawab, kita ini menentang Islam... kita menyerang ulama,” katanya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata kerajaan mampu berbuat demikian hasil penjimatan negara menerusi usaha membendung ketirisan dan penyelewengan.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pertambahan hasil seperti kutipan cukai yang diperoleh negara bukanlah untuk keselesaan pemimpin sebaliknya akan disalurkan semula bagi membantu rakyat seperti pesawah, pekebun getah dan golongan miskin.

“Walaupun saya buat unjuran dan pertumbuhan ekonomi serta hasil pendapatan, Alhamdulillah kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri tetap meningkat dan tinggi jadi hasil kita bertambah... pertambahan itu bukan untuk bayar pemimpin tapi untuk kegunaan rakyat,” katanya.

Beliau turut mewajibkan semua pimpinan parti menjadi ahli Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) yang dilancarkan hari ini untuk menjaga kebajikan anggota.

- Bernama

Lihat Komen
ADS