mk-logo
Berita

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail mendahului kedudukan teratas pada pemilihan naib presiden Umno hari ini, berdasarkan kiraan tidak rasmi.

Wan Rosdy mendapat 71 undi setakat kiraan pada jam 10.30 malam tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin di tempat kedua dengan mendapat 70 undi.

Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani, di tempat ketiga dengan 57 undi.

Pemilihan hari ini, melibatkan sebanyak 189 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

Dua Umno bahagian tidak menjalankan pemilihan berikutan digantung akibat masalah tertentu iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), yang juga satu-satunya calon wanita yang merebut jawatan itu, Azalina Othman Said sekadar mendapat 33 undi diikuti bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican yang mendapat 25 undi setakat ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas menteri besar Johor, Hasni Mohammad memperoleh 16 undi manakala penyandang Naib Presiden, Mahdzir Khalid mendapat 11 undi.

Seorang lagi calon, Dr Mohd Yusof Musa, belum mendapat sebarang undi.

Dalam pada itu, bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pula Dr Shamsul Anuar Nasarah mendahului dengan meraih 50 undi diikuti Dr Zambry Abdul Kadir, yang meraih 48 undi.

Sementara itu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memperoleh 47 undian dan Bung Mokhtar Radin dengan 46 undian.

Setiausaha agung parti, Ahmad Maslan pula memperoleh 45 undi manakala Abdul Azeez Abdul Rahim mendapat 40 undi diikuti Azian Osman, 39 undi.

Shahaniza Shamsudin pula memerpolehi 37 undi dan Razlan Rafii 36 undi.

Selain itu, Ahmad Said dan Dr Ir Shaik Hussien Mydin memperoleh 35 undi, diikuti Abdul Rahman Mohammad dengan 34 undi.

Mohd Shakar, 33 undi, Isham Jalil dan Zahida Zarik Khan pula 32 undi.

Sementara itu, Abdul Razak Abdul Rahman 31 undi, Alwi Che Ahmad 29 undi.

Dr Mohd Puad Zarkashi memperolehi 28 undi manakala Mohd Fatmi Che Salleh dan Johan Abdul Aziz mendapat 28 undi.

Lokman Nor Adam pula mendapat 27 undi manakala Jalaluddin Alias dan Jamil Khir Baharom 26 undi.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pula tidak dipertandingkan kali ini susulan ketetapan yang diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 lalu.

Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Shahrir Samad selepas selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.

Lihat Komen
ADS