Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Rosdy, Khaled dan Johari menang jawatan naib presiden Umno

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani berjaya memenangi jawatan naib presiden Umno.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Wan Rosdy yang juga Ketua Umno Pahang memperoleh undi 116 bahagian manakala Khaled dan Johari masing-masing mendapat 104 dan 96 undi bahagian.

Berdasarkan jumlah undi sehingga jam 9.30 pagi ini, tiga calon berkenaan berjaya memperoleh undi melepasi separuh daripada 189 bahagian Umno yang bersidang semalam.

Secara keseluruhannya Umno mempunyai 191 bahagian, namun dua bahagian digantung daripada mengadakan persidangan dan pemilihan.

Keputusan itu juga menyaksikan buat pertama kali Wan Rosdy dan Johari berjaya memegang jawatan berkenaan, manakala Khaled mempertahankan kerusi dimenanginya itu sebelum ini.

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said yang menjadi calon tunggal wanita gagal untuk mencipta kemenangan apabila berada di tangga keempat.

Antara calon yang turut bersaing bagi jawatan naib presiden ialah penyandang jawatan, Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS