Surirumah G.Sara Lily, ibu kepada G Francis Udayappan, memfailkan saman cuai menuntut gantirugi RM29 juta daripada 12 defendan, termasuk Peguam Negara dan Ketua Polis Negara berhubung kematian anak lelakinya itu semasa dalam tahanan polis.

Kes Udayappan mendapat perhatian media apabila mayatnya yang reput ditemui di Sungai Klang berhampiran Puchong pada 23 Mei 2004, tanpa tangan kanannya dan separuh kepalanya.

Sara Lily, 48, memfailkan writ saman itu melalui Tetuan Kumar Hashimah & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark di Kuala Lumpur hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau menamakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC I Zulhasnan Najib Baharuddin dan Ketua Polis Perak, SAC II Aziz Bulat; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mustafa Abdullah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah tiga pegawai polis dari Balai Polis Brickfields yang menahan Udayappan iaitu Kpl Murthi, Sarjan Govind dan Sarjan Chan Kim Chai pakar patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof K.Nadesan; Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Dalam satu inkues pada 7 April tahun lalu, Mahkamah Koroner mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian Udayappan. (Sara Lily telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner itu.)

Dalam pernyataan tuntutannya, Sara Lily, mendakwa anaknya berusia 23 tahun itu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam satu kesalahan mencuri sebuah telefon bimbit telah didera polis sehingga mati dan dicampakkan ke dalam sungai.

Tuntut gantirugi

Menurut wanita itu, beliau tidak dapat menerima penjelasan defendan-defendan bahawa beberapa pegawai polis telah mengejar Udayappan yang telah melarikan diri dari tahanan polis tetapi gagal menangkap anaknya itu yang terus terjun ke dalam Sungai Klang.

Sara Lily mendakwa Peguam Negara telah melengah-lengahkan prosiding inkues menyebabkan mayat anaknya itu ditahan secara tidak sah di sisi undang-undang di bilik mayat PPUM selama dua tahun.

Dia juga mendakwa Peguam Negara enggan atau cuai mengarahkan agar mayat Udayappan diserahkan kepadanya walaupun beliau (Sara Lily) telah mengenal pasti secara positif mayat anaknya itu.

Sara Lily memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa penahanan Udayappan adalah tidak sah disisi undang dan memohon satu deklarasi bahawa defendan-defendan telah "menyembunyi dan mereka-reka bukti" berhubung kematian anaknya itu.

Beliau menuntut ganti rugi khas RM1,163,100, ganti rugi am sebanyak RM27 juta dan gantirugi teladan sebanyak RM1 juta serta faedah dan kos.