Peruntukan sama rata: Adun Muda gesa Johor jadi teladan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz Johor segera penggubalan enakmen bagi membolehkan semua wakil rakyat di negeri itu mendapat peruntukan sama rata.
Bercakap dalam sidang DUN Johor semalam, Adun dari Muda itu berkata langkah menjamin semua wakil rakyat mendapat peruntukan sama dari kerajaan menjadi keutamaannya.
Menurut Amira Aisya ia adalah antara pembaharuan yang perlu dilaksanakan dan Johor boleh menjadi teladan kepada negeri lain dengan meluluskan enakmen sebegitu.
"Kita tak perlu tunggu lagi setiap penggal untuk menentukan sekiranya ada peruntukan yang akan diberikan kepada Adun-Adun pengimbang kerajaan (pembangkang).
"Saya juga percaya bahawa kita tak perlu tunggu akta ini untuk lulus dan digazetkan di peringkat persekutuan," katanya.
Peruntukan setara kepada semua wakil rakyat menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak termasuk dalam kalangan wakil rakyat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.
Sejak beberapa lama ahli parlimen atau Adun kerajaan akan diberi peruntukan tertentu, manakala pembangkang menerima peruntukan yang jauh lebih kecil.
Bagaimanapun untuk rekod sekiranya akta mengenai peruntukan setara itu diluluskan di peringkat persekutuan, ia tidak melibatkan negeri secara automatik.
Sebaliknya kerajaan negeri perlu mengemukakan usul kepada DUN untuk diluluskan.
Amira Aisya berkata isu tersebut tidak boleh dianggap remeh oleh sesiapa pun terutama apabila ia membabitkan rakyat secara langsung.
"Johor sekali lagi boleh menunjukkan kepada semua bangsanya bahawa semua wakil rakyat dalam DUN ini meletakkan kebajikan bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik," katanya.
Isu mengenai pembahagian peruntukan itu pernah dibangkitkan semasa Hasni Mohammad menjadi menteri besar pada akhir 2021.
Pada Nov tahun itu Hasni mengumumkan bahawa kesemua 56 Adun di negeri terbabit akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setahun.
Dalam manifesto pilihan raya negeri BN pada Mac tahun lalu juga parti terbabit turut berjanji untuk terus memberikan peruntuan yang sama kepada semua Adun sama ada ia mewakili kerajaan atau pembangkang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/b08dca5805c7b0b559f651c4a0f81dc8.jpg)
