'Tiada bukti k’jaan terdahulu bangunkan RUU perubahan iklim'
Tiada bukti bahawa kerajaan terdahulu sebenarnya bertanggung jawab dalam membangunkan rang undang-undang (RUU) mengenai perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi berkata demikian pada satu forum semalam, ketika menjawab soalan mengenai sebab penangguhan RUU itu.
“Saya rasa pendahulu saya Yeo Bee Yin memulakan langkah untuk membangunkan akta perubahan iklim (sepanjang tempoh perkhidmatannya), banyak kerja telah dilakukan pada masa itu.
“Kemudian tahun lepas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan akta perubahan iklim akan diluluskan tahun ini.
“Jadi apabila saya memegang jawatan, saya cuba lihat apa yang ada berhubung dengan akta itu. Malangnya, tiada apa-apa,” katanya pada Forum Keadilan Iklim Greenpeace Malaysia semalam.
September lalu, menteri alam sekitar dan air ketika itu Tuan Ibrahim dilaporkan berkata RUU itu sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan tahun ini.
Bagaimanapun, Nik Nazmi, semasa perbahasan di Dewan Rakyat bulan lalu, menyatakan bahawa RUU itu perlu dikaji semula, dan berkata pelaksanaanya dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.
Sementara itu, ditanya lanjut mengenai RUU itu, dia enggan mendedahkan butiran lanjut, sekadar berkata Putrajaya telah memulakan sesi perundingan dan sedang dalam proses menyediakan draf.
Mengakui keperluan mendesak untuk membentangkan RUU berkenaan, ahli Parlimen Setiawangsa itu menjelaskan bahawa ia tidak boleh disegerakan tetapi berharap ini tidak akan ditangguhkan terlalu lama.
“Kita mahu menggubalnya secepat mungkin tetapi kita juga mahu melakukannya dengan sebaik mungkin.
“Saya mahu keterlibatan dengan masyarakat awam dan ahli akademik supaya apabila ia diluluskan, ia adalah undang-undang yang betul.
“Saya tidak mahu sekadar hanya telah melaksanakan akta perubahan iklim, yang tidak bermakna,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/440154625a6afb8a1a5735adfc3afa16.jpg)


/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/08/caf66e045da8aac7992a1b0cff3fd0df.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/a28659a1d92bff8b21f30cf59f1180af.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/2afc20a3442e59e81dacce75ac3db6fc.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/12/1cf5e26d62bbd285937c5a588718432f.jpg)