Kapal layar Rainbow Warrior menerima kunjungan istimewa pada Sabtu lalu apabila Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah melawat kelengkapan milik kumpulan Greenpeace berkenaan.

Selepas melawat kapal itu, Tengku Hassanal menulis di laman Instagramnya bahawa beliau menyokong kempen Keadilan Iklim Greenpeace.

Difahamkan Tengku Hassanal melawat kapal itu atas minat beliau sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Greenpeace Malaysia berkata mereka amat berbesar hati untuk menerima Tengku Hassanal menaiki Rainbow Warrior.

“Semangat anda yang didorong oleh tindakan bermakna membawa harapan untuk pergerakan ke arah keadilan iklim.

"Kami berharap dapat berjumpa anda lagi,” kata Greenpeace Malaysia.

Kempen Keadilan Iklim Greenpeace bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cara perubahan iklim memberi kesan kepada dunia secara tidak sama rata dan kehidupan mampan.

Sebahagian daripada kempen itu ialah lawatan awam kapal Rainbow Warrior yang kini berlabuh di terminal penumpang Pelabuhan Klang.

Ia merupakan antara usaha Greenpeace untuk mengetengahkan isu alam sekitar seperti pencemaran udara dan plastik serta penebangan hutan semasa menjalankan lawatan awam mereka.

Kapal itu tiba pada 16 Mac dan akan berlepas pada 28 Mac nanti. Lawatan seterusnya akan diadakan pada 25 Mac dan 26 Mac.

Rainbow Warrior ialah kapal binaan khas yang dimiliki dan dikendalikan oleh Greenpeace antara lain bagi melaksanakan program kesedaran alam sekitar dan lawatan saintifik.

[Baca berita penuh]