Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kajian cadangan Lapangan Terbang Kulim oleh NASP belum muktamad'

PARLIMEN | Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) berhubung cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan juga belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk kebenaran aerodrom bagi pembangunan di bawah projek Kedah Aerotropolis itu.

Justeru, katanya tidak timbul soal kerajaan menolak cadangan pembangunan projek tersebut.

“Kelulusan yang diberikan Majlis Perancangan Fizikal Negara sebelum ini hanyalah secara prinsip dan ia perlu disusuli dengan permohonan untuk mendapatkan aerodrom kepada Menteri Pengangkutan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan tambahan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai perkembangan terkini kajian NASP terhadap pembangunan KXP dan Kedah Aerotropolis.

Menjawab soalan asal Azman berhubung peranan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan projek tersebut diteruskan, Loke berkata beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah diadakan dengan pihak kerajaan Kedah bagi memperincikan cadangan pembangunan KXP.

Dia berkata kementerian telah memaklumkan kepada pihak pemaju dan kerajaan Kedah bahawa cadangan projek pembangunan KXP adalah tertakluk kepada kajian NASP.

“Setakat ini, surat yang pernah dikemukakan oleh kerajaan Kedah kepada kementerian adalah surat bertarikh 3 Jan 2021 supaya kementerian memberikan kebenaran kepada pembangunan projek KXP dan Kedah Aerotropolis dengan memberi pengecualian ketika tempoh menunggu menyiapkan kajian NASP atau menggunakan dapatan data-data kajian awalan terdahulu sebagai interim NASP,” katanya.

Loke menjelaskan permohonan projek pembangunan aerodrom termasuk lapangan terbang di Malaysia perlu dibuat mengikut Akta Penerbangan Awam 1969 dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

Menurutnya Kementerian Pengangkutan sentiasa mengambil sikap terbuka terhadap sebarang cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri mahupun pihak pelabur swasta yang membawa manfaat ekonomi, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan yang lestari.

-Bernama

Lihat Komen
ADS