Adakah tindakan keras kerajaan terhadap dakwaan rasuah membabitkan pemimpin terdahulu menjadikan Dr Mahathir Mohamad semakin resah, soal Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Menurut pemimpin DAP itu, terdapat kebimbangan berterusan di kalangan "penerima kekayaan haram" bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin memperluas usaha antirasuahnya.

“Dalam hal ini, Anwar mungkin terfikir untuk mengejar pemimpin terdahulu yang mempunyai peranan dalam merompak berbilion-bilion wang negara.

“Mahathir yang sering dituduh membantu kroni dan saudaranya mungkin ada sebab untuk bimbang,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Dia mendakwa ini mungkin menjadi pencetus di sebalik rancangan bekas perdana menteri itu untuk mengadakan perhimpunan "Proklamasi Orang Melayu” dengan tujuan untuk "menjatuhkan kerajaan sedia ada".

Ramasamy menjawab kritikan Mahathir terhadap Anwar selepas mendakwa beberapa lokasi telah membatalkan tempahan untuk perhimpunan berkenaan.

Tanpa memberikan sebarang bukti, Mahathir menuding jari ke arah perdana menteri, sambil menuduhnya cuba mengekang perbezaan pendapat terhadap pentadbirannya.

Apabila Pakatan Harapan berdamai dan bekerjasama dengan Mahathir untuk menggulingkan BN pada pilihan raya umum 2018, veteran DAP Lim Kit Siang menafikan dia menuduh pemimpin veteran itu, yang menjadi perdana menteri buat kali kedua ketika itu, melakukan rasuah.

Dalam temu bual pada 2019, Lim, ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata: "Saya tidak pernah mengatakan dia makan rasuah. Kamu boleh teliti semua kenyataan saya. Semuanya dalam rekod. Saya tidak pernah mengatakan Mahathir makan rasuah."

"Saya cuma berkata, terdapat contoh penyalahgunaan kuasa dan seumpama itu," tambahnya.

Lim juga ditanya sama ada dia masih akan mendesak siasatan yang dituntutnya sebelum ini mengenai perkara yang berlaku semasa tempoh pertama Mahathir sebagai perdana menteri (1981 hingga 2003), dan jawapannya adalah bahawa kerajaan PH mempunyai keutamaan lain.

Sementara itu, Ramasamy menuduh Mahathir "meletakkan asas" untuk Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah.

"Jika dia tidak ragu-ragu untuk menjatuhkan kerajaannya sendiri, maka apa yang kamu harapkan akan dilakukannya dengan kerajaan yang dirinya bukan sebahagian daripadanya," tambahnya.

Ramasamy juga bertanya kepada Mahathir, yang terus menyuarakan dakwaan bahawa orang Melayu masih ketinggalan,tentang apa yang dilakukannya untuk bangsa itu walaupun sudah dua kali menjadi perdana menteri.

“Semasa Mahathir berkuasa dia membidas orang Melayu kerana tidak mengambil kesempatan daripada peluang ekonomi yang ada.

“Namun, apabila dia tidak berkuasa, dia bercerita tentang bagaimana orang Melayu kalah kepada orang bukan Melayu.

“Soalan saya mudah: dia menjadi perdana menteri dua kali, tempoh pertama 22 tahun dan tempoh kedua, 22 bulan. Apa yang dia lakukan untuk tangani nasib orang Melayu kebanyakan?” soalnya.