Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Perpaduan cakna syiar Islam - Gabungan institusi tahfiz
Diterbitkan:  Mar 20, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Syiar Islam dan kebajikan umatnya di negara ini tidak pernah dipinggirkan di bawah Kerajaan Perpaduan menerusi pelbagai rencana yang dirangka selaras konsep Malaysia Madani.

Ini antara lain dibuktikan melalui peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam merangkumi RM1.5 bilion dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Feb lepas, selain pemerkasaan umat Islam menerusi pelbagai siri penganjuran program kerohanian.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) Mohd Zahid Mahmood berkata Kerajaan Perpaduan ketika ini jelas memperkukuhkan Islam menerusi pelbagai peruntukan khusus kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), institusi tahfiz dan sekolah pondok.

"Tidak timbul isu mengatakan Kerajaan Perpaduan ini membelakangkan dan menganaktirikan Islam, malah mereka (kerajaan) memberi keutamaan kepada Islam itu sendiri dan benda-benda bercanggah dengan Islam sendiri kerajaan tak sokong," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan komitmen Perdana Menteri yang banyak melaksanakan program termasuk menjemput orang ramai ke Seri Perdana bagi program keagamaan, malah turut menganjurkan program Selawat dan Munajat Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 15,000 orang, baru-baru ini.

"Kerajaan Perpaduan peka dan cakna kepada aspek pengajian dan pendidikan Islam malah beliau sendiri meminta agar program berbentuk selawat, munajat dan majlis ilmu diadakan dengan lebih kerap," katanya.

Pengarah Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) (Timur dan Asia Tenggara) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin pula berkata umat Islam di negara ini sama sekali tidak perlu bimbang mengenai nasib mereka di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Katanya kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tetap terpelihara dan terjamin menerusi komitmen dan langkah yang telah diumum dan dilaksanakan kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam.

“Konsep Madani yang dibawa oleh kerajaan sekarang juga sebenarnya mencerminkan nilai-nilai Islam itu sendiri yang merupakan perjuangan pokok dalam Islam," katanya.

Dalam memperkasa institusi maahad tahfiz di negara ini, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz selain menyumbangkan dana RM2 juta kepada Pinta.

Malah ketika Kongres Khas Nasional PKR 2023 di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lepas, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jakim.

Selain itu, perdana menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.

Komitmen kerajaan dalam memperjuangkan Islam juga diterjemahkan menerusi Belanjawan 2023 dengan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar, selain peruntukan RM40 juta bagi kenaikan elaun kepada 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1,100.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir, dengan 70,000 orang akan menerima sumbangan itu melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS