Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Raub: Perkembangan siasatan kes Beng Hock tak memuaskan
Diterbitkan:  Mar 21, 2023 9:56 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menggesa kerajaan menyegerakan siasatan berhubung kematian pembantu politik wakil rakyat DAP Teoh Beng Hock.

Empat belas tahun selepas kematian Teoh semasa di bawah jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chow berkata, hanya perkembangan yang minimum dapat dilihat dan ia gagal memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.

Dia turut mempersoalkan keputusan polis menyiasat semula kematian Teoh mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu kerana mengurung secara salah, bukannya seksyen 302 atau 304 yang masing-masing berkait pembunuhan atau menyebabkan kematian.

“Memang membingungkan apabila selepas beberapa tahun berlalu dan kerajaan berjanji untuk mengutamakan kes itu, wujud kemajuan minimum ke arah memberikan keadilan kepada Teoh dan keluarganya.

“Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh adalah akibat daripada perbuatan menyalahi undang-undang atau perbuatan orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam penangkapan dan siasatan si mati.

“Peguam negara mesti mengambil kira penghakiman itu dan mengarahkan polis untuk menyiasat mengikut seksyen yang lebih sesuai – Seksyen 304 atau 302 Kanun Keseksaan,” kata Chow dalam satu kenyataan semalam.

Chow Yu Hui

Gesaannya dibuat selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan di parlimen semalam bahawa polis telah membuka semula siasatan kes kematian Beng Hock mengikut Seksyen 342 berikutan keputusan kabinet pada 2018.

Dalam jawapan itu, Saifuddin berkata Jabatan Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan kepada pegawai penyaisat pada 6 Jan lalu, dengan arahan supaya polis merekodkan keterangan lanjut daripada saksi-saksi penting.

Tambah Chow, adalah membimbangkan apabila pihak berkuasa bergantung kepada Seksyen 342 bagi kurungan yang salah.

"Ia membawa hukuman yang lebih ringan. Ia menimbulkan persoalan tentang komitmen mereka untuk memastikan keadilan dan akauntabiliti.

"Ketiadaan kemajuan dan kejelasan berhubung kes itu hanya menambah luka kepada keluarga dan menyumbang kepada defisit kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa," katanya.

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS