PARLIMEN l Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kawasan liputan hutan di Semenanjung Malaysia ketika ini berkeluasan 5,694,784 hektar, iaitu kira-kira 42.95 peratus.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Putrajaya menyasarkan untuk meningkatkan litupan hutan di Semenanjung Malaysia kepada 50 peratus menjelang 2040, di bawah matlamat yang digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4), yang diputuskan pada 2021.
Nik Nazmi berkata demikian sebagai menjawab soalan Teresa Kok (PH - Seputeh) yang menggesa Putrajaya menyatakan menyatakan strategi untuk memastikan deklarasi litupan hutan di negara ini kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara yang dibuat di Kemuncak Bumi Rio pada 1992.

Kok telah membangkitkan persoalan ini beberapa kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Angka yang dipetik oleh Nik Nazmi adalah angka 2020 yang dirujuk oleh laman web Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Halaman berbeza di laman web yang sama memetik angka 5.73 juta hektar kawasan hutan untuk tahun 2021, turun daripada 5.81 juta hektar pada 2011.
BACA LANJUT: Konflik dan hutan: Badak sumbu dah pupus, haiwan lain pun bakal lenyap?
Bagaimanapun, laporan khas Malaysiakini berkaitan pembersihan hutan dan hidupan liar minggu lalu mendedahkan kawasan yang besar dalam data liputan hutan sebenarnya “hutan pengeluaran” untuk perlombongan, ladang hutan, pembalakan dan objektif pengeluaran lain.
