Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Pahang, Choong Ching Yan, cedera parah setelah kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 57 Jalan Kuala Lumpur - Ipoh dekat Rawang petang semalam.

Jurucakap polis trafik Kuala Kubu Baru berkata dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Choong yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur tidak sempat mengelak sebuah lori dari arah bertentangan yang tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke lorong sebelah.

"Mangsa terlanggar lori itu sebelum dilanggar pula oleh sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak kerana mengekori tidak jauh dari kenderaan yang dipandunya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Difahamkan lori satu tan yang membawa muatan gas itu dalam perjalanan dari Kuala Kubu Baru ke Seremban manakala Choong dalam perjalanan pulang ke Cameron Highlands selepas menghadiri mesyuarat di Kuantan, demikian menurut laporan Bernama.

Jurucakap polis itu berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, Dharal Khalafa Musa, 22, mati dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan serius di kepala.

Katanya, Choong yang memandu kereta Honda CRV cedera parah di kepala serta belakang badannya dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh hari ini.

"Keadaan beliau kini dilaporkan stabil manakala pemandu lori hanya mengalami cedera ringan," katanya.