Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebelum pilihan raya umum ke-15 pada 19 November 2022, saya menasihati dua tokoh terkenal politik, D Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, untuk tidak bertanding, sebaliknya mengambil peranan sebagai penasihat. 

Kedua-dua Mahathir dan Razaleigh bertanding dan kalah, malah Mahathir – bekas perdana menteri dua kali yang berkhidmat selama hampir 25 tahun – kehilangan depositnya. 

Saya tidak jangka nasihat saya ini akan didengari, tetapi demi manfaat Mahathir sendiri dan juga Malaysia, saya perlu berikannya juga. 

Saya sudah lama tidak berjumpa dengan Mahathir sejak konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2020, dan sejak persaraan saya daripada politik barisan hadapan pada Mac 2022, jadi saya akan berikan nasihat ini melalui surat terbuka. 

Nama Mahathir muncul dalam arena politik negara apabila dia menulis buku Dilema Melayu pada tahun 1970 dan dia kemudian digelar sebagai ultra Melayu. Bukunya kemudian segera diharamkan oleh perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dan pengharaman ini disokong penuh oleh Tun Razak Hussein dan Tun Ismail. 

Mahathir menyertai kabinet sebagai menteri pendidikan pada tahun 1974 dan menjadi perdana menteri keempat daripada tahun 1981 sehingga 2003. 

Pada tahun 1991, Mahathir melancarkan Wawasan 2020, mengumumkan bahawa “Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia yang berkeyakinan, diterapkan dengan nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertoleransi, saling peduli, dengan ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, berketahanan, dan mampan”, dengan pengumuman sembilan cabaran strategik untuk dicapai menjelang 2020. 

Dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada bulan Oktober 2003, tetapi pada tahun 2018, memimpin gabungan Pakatan Harapan untuk menamatkan hegemoni politik Umno dan menjadi perdana menteri ketujuh, selama 22 bulan sebelum ditumbangkan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2020. 

Pada tahun 2021, Mahathir mengumumkan kegagalan Wawasan 2020. 

Dalam buku pasca Langkah Sheratonnya, Mahathir mengkritik Muhyiddin Yassin atas deklarasi “Melayu pertama”. 

PM bukan Melayu

Tetapi pada tahun 2023, Mahathir mengumumkan yang orang Melayu sedang kehilangan kuasa politik mereka dan orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri dalam dua pilihan raya umum lagi. 

Sekiranya orang Melayu kini terancam, maka perkara ini merupakan kegagalan peribadi terbesar Mahathir kerana dia sendiri menjadi perdana menteri sebanyak dua kali selama hampir 25 tahun. Apakah yang telah dilakukannya untuk menyelamatkan orang Melayu daripada menjadi kaum yang terancam?

Namun, tidak benar untuk mengatakan yang orang Melayu telah kehilangan kuasa politik atau menjadi kaum yang terancam, seperti mana ketika dia mengumumkan Wawasan 2020, dia bukannya sedang mengumumkan permulaan kaum Melayu sebagai kaum terancam. 

Hujah yang mengatakan orang Melayu terancam adalah salah dan tidak berasas, seperti tuduhan liar dan tidak masuk akal Presiden PAS, Hadi Awang yang mengatakan kononnya DAP anti- Melayu, anti-Islam, antiraja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia. Atau tuduhannya yang mengatakan kononnya DAP berada di sebalik usaha kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (Icerd). Sedangkan pemimpin DAP dalam dan di luar kerajaan tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. 

Adakah Mahathir telah bergerak ke hadapan dari Dilema Melayu kepada Wawasan 2020?

Atau adakah dia telah mundur ke belakang dari Wawasan 2020 ke kedudukan yang lebih buruk daripada Dilema Melayu? Tidak ada mana-mana parti politik yang meminta untuk adanya seorang perdana menteri bukan Melayu dalam beberapa pilihan raya umum yang akan datang. 

Saya sendiri direkodkan sebagai berkata yang saya tidak jangka akan ada seorang perdana menteri bukan Melayu dalam jangka hayat saya atau dalam kehidupan anak saya. 

Tetapi, tokoh kemerdekaan negara, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn (empat presiden terawal Umno), Tun Tan Cheng Lock, dan Tun VT Sambanthan, semuanya membayangkan penubuhan sebuah negara yang terdiri dari kalangan orang Melayu dan bukan Melayu, kerana itulah adanya Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghadkan jawatan perdana menteri kepada orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak disekat daripada memegang jawatan perdana menteri. 

Mengapakah Mahathir memungkiri janjinya dalam Wawasan 2020 dan kini tidak bersetuju dengan empat presiden terawal Umno bahawa bukan Melayu tidak dihalang menjadi perdana menteri oleh perlembagaan, walaupun realiti politik menunjukkan perkara ini tidak kelihatan mungkin terjadi dalam abad ini?

Malah, Amerika Syarikat juga mengambil masa 200 tahun untuk menyaksikan seorang lelaki berkulit hitam (Barack Obama) menjadi presiden. Dan tidak ada sesiapa yang dapat meneka bilakah orang berkulit hitam akan menjadi presiden AS sekali lagi. 

Negara majmuk

Mengapakah Mahathir menentang prinsip asas pembinaan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang telah dipersetujui oleh empat presiden terawal Umno bersama dengan tokoh-tokoh kemerdekaan negara yang lain?

Persoalan yang paling penting di Malaysia hari ini adalah sama ada rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, boleh mengembalikan semula negara kita kepada prinsip asas yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara untuk menyatukan sebuah masyarakat majmuk yang telah terpolarisasi dan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan sistem politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial bertaraf dunia dan bukannya terjunam menjadi Malaysia yang berpecah belah, gagal, dan kleptokrasi menjelang ulang tahun ke-100 negara.

Adakah Mahathir setuju?

Adakah Mahathir akan kembali kepada Wawasan 2020 untuk menetapkan semula hala tuju negara sebagai sebuah Malaysia majmuk atau adakah dia akan kembali ke Dilema Melayu yang telah membawa kepada skandal 1MDB dan Jana Wibawa?

Selepas enam dekad usaha membina negara bangsa dan setengah abad dengan Rukun Negara, kita sepatutnya sedang bercakap mengenai dilema Malaysia dan bukannya dilema Melayu atau dilema bukan Melayu.

Kita telah tercicir daripada berada dalam kalangan negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja. Kita telah menjadi sebuah negara yang menunjukkan kemerosotan. 

Adakah kita telah ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057?

Adakah Mahathir akan menghabiskan baki hidupnya untuk memperjuangkan Wawasan 2020, yang rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, atau Kadazan, dapat memaksimumkan potensi mereka, atau dengan Dilema Melayu?

Inilah pilihan yang berada di hadapan Mahathir hari ini. 

Negara ini dan rakyatnya, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, sedang terancam dengan rasuah yang berleluasa dan hasutan perkauman dan keagamaan yang melampau-lampau. 

Perdana menteri kesepuluh, Anwar Ibrahim, telah memberikan amaran keras pada minggu lepas. 

Kini masanya untuk tindakan tegas!


LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS