PN tolak iltizam tak pecahkan undi Melayu - Pejuang
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Mukhriz Mahathir menyatakan kekecewaan terhadap penolakan Perikatan Nasional (PN) daripada menerima mereka sebagai anggota baru.
“Adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang-orang Melayu tidak disambut oleh pimpinan Perikatan Nasional,” kata setiausaha agungnya Amiruddin Hamzah.
PN hari ini memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang, parti serpihan Bersatu, yang juga tonggak dalam gabungan itu.
Tiada alasan diberikan.

Pejuang ditubuhkan selepas Mukhriz, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sekutu mereka disingkirkan selepas Langkah Sheraton 2020 yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pejuang kemudian bergabung dengan parti-parti kecil Melayu tetapi kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu sehingga semua calonnya, termasuk Mahathir dan Mukhriz sendiri, hilang wang pertaruhan.
Berikutan itu berlaku perpecahan yang menyaksikan Mahathir keluar Pejuang dan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan veteran politik Ibrahim Ali.

Pejuang dilihat mahu menyertai gabungan yang lebih kuat bagi mencari kedudukan strategik bagi menebus kekalahan dalam enam pilihan raya negeri pada tahun ini.
Sementara itu, dalam kenyataan petang ini, Pejuang juga berkata akan terus menggerakkan jentera untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/e80cd1a94a8dac5820925638e478736c.jpg)
