Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akan datang - boleh guna kad debit, kredit bayar tol di empat lebuh raya
Diterbitkan:  Mar 21, 2023 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Empat lebuh raya tidak lama lagi akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka untuk tolnya selewat-lewatnya pada September 2023, umum Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Ini bermakna selain menggunakan Touch ‘n Go (TnG), pengguna akan dibenarkan membayar tol di lebuh raya tersebut menggunakan kad debit atau kredit mereka.

Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Pantai Baru, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumput dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

"Pelaksanaan open payment system (sistem bayaran terbuka) ini adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem kutipan tol tanpa henti di lebuh raya (Multi-Lane Fast Flow - MLFF) yang sedang giat diusahakan,” kata Alexander pada satu kenyataan hari ini.

Ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pada 19 Mac bahawa kerajaan akan meneliti monopoli TnG ke atas kutipan tol lebuh raya kerana tidak ada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu.

Alexander berkata usaha menangani monopoli itu telah dimulakan tahun lepas dan ia menjadi tumpuan utamanya sejak dia diberi portfolio Kementerian Kerja Raya.

"Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuh raya diadakan bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan open payment system.

"Saya juga telah turut serta di dalam pelbagai perbincangan yang diadakan," katanya menjelaskan ini membawa kepada pengumuman sistem pembayaran terbuka ini.

Menteri itu juga mengumumkan bahawa bukti konsep (POC) MLFF akan dilaksanakan sebelum penghujung Oktober tahun ini untuk menilai sistem itu sebelum ia dilancarkan ke semua lebuh raya di Malaysia.

Buat masa ini, lokasi untuk POC masih dalam rundingan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi, katanya.

Pelancaran penuh untuk MLFF dijangka dilakukan secara berperingkat selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

"Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan eWallet untuk tutur serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch N Go.

"Dengan itu persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilhan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka,” kata Alexander berharap akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya pengguna lebuh raya.

Lihat Komen
ADS