Perpecahan dalam MIC di Ijok jelas memerlukan pertimbangan yang bijaksana di pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam memilih calon yang terbaik untuk merebut peluang dari kemelut tersebut dalam pilihanraya kecil pada 28 April depan.

Kenyataan terbuka Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, S P Thirumoorthy untuk meletakkan jawatan jika tidak terpilih sebagai calon di Ijok, bermakna undi untuk Barisan Nasional (BN) akan berpecah.

Apa yang berlaku itu mengesahkan kenyataan Ketua Umno bahagian Kuala Selangor, Datuk Ameruddin Setro baru-baru ini ketika menggesa BN Selangor supaya memilih calon Umno bertanding di Ijok.

Selain menyatakan ianya selaras dengan majoriti pengundinya orang Melayu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram itu juga mendedahkan mengenai wujud puak-puak di kalangan kepimpinan MIC di bahagian berkenaan.

Dan jawapan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu ketika diminta mengulas tindakan Thirumoorthy itu, bahawa beliau tidak akan melayan tuntutannya, menunjukkan 'perang' dalam MIC itu akan berlanjutan sehingga pilihanraya kecil 28 April ini.

Pemerhati politik berpendapat, kemelut dalam MIC itu sepatutnya dapat membuka jalan kepada PKR untuk merungkai masalah pemilihan calon parti itu untuk bertanding di Ijok.

Angin berubah

Sebelum ini, ura-ura untuk meletakkan Tan Sri Khalid Ibrahim bendahari agung PKR dan anak tempatan Kuala Selangor bertanding di Ijok, telah dibantah oleh sekumpulan ahli-ahli keturunan India dalam parti pembangkang.

Mereka ini jelas merupakan penyokong Datuk S Nallakarupan, telah mendesak supaya rakan karib Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, diletakkan bertanding di Ijok.

Dan seperti yang diduga, mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR semalam, telah menyenaraipendekkan dua calon untuk dipilih bertanding di Ijok Khalid dan Nallakarupan.

BN akan mengumumkan nama calonnya di Ijok jam 5 petang ini. Apa yang jelas, sekiranya MIC meletakkan calon selain daripada Thirumoorthy, maka kemungkinan penyokongnya akan memprotes dan salah satu caranya ialah dengan mengundi calon pembangkang.

Dan mereka akan lebih teruja untuk membuat demikian sekiranya calon pembangkang khususnya dari PKR juga dari keturunan India.

Menurut Thirumoorthy, beliau mendapat sokongan daripada 18 ketua cawangan daripada 36 cawangan parti MIC di kawasan pilihan raya Ijok.

Ini merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan PKR yang akan mengumumkan nama calon mereka esok.

Tiada yang mustahil

Sebelum ini, Khalid yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad, dilihat oleh banyak pihak, termasuk PAS Selangor sendiri, sebagai calon terbaik untuk bertanding di Ijok.

Malah, PAS Selangor telah membuat kenyataan terbuka bahawa pihaknya akan membantu sekiranya Khalid yang dipilih bertanding di situ.

Menurut parti itu, tinjauan menunjukkan Khalid merupakan seorang yang disengani penduduk tempatan dan oleh itu peluang bagi PKR lebih cerah.

Beliau adalah antara pengasas PNB dan telah memajukan institusi pelaburan bumiputera itu menerusi beberapa skim saham amanah termasuk Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Khalid meninggalkan PNB pada Julai 1994 untuk menyertai kumpulan Guthrie. Beliau mempunyai kelayakan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland.

Bagaimanapun, suasana di Ijok telah berubah dan nampaknya ia lebih memihak kepada Nallakarupan, umpama kata bijak pandai, tiada yang mustahil dalam politik.

Untuk itu sama-samalah kita menunggu untuk melihat 'pertimbangan bijaksana' yang bakal dibuat oleh kepimpinan tertinggi PKR.