Kerajaan Perpaduan adakan konvensyen 14 Mei ini
Konvensyen melibatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata konvensyen yang akan disertai 20 parti dalam kerajaan itu adalah untuk memperlihatkan perpaduan dalam kalangan gabungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Sebanyak 20 parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dengan empat gabungan utama dalam parti akan berada pada satu tempat dan pada waktu yang sama.
"Ia bagi kita kita memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan dan yang paling penting dukungan daripada Umno cukup padu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno 2023-2026 yang pertama di Kuala Lumpur hari ini.
Ahad lalu Anwar dilapor berkata satu konvensyen bersama parti-parti dalam kerajaan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara.
Anwar yang juga Pengerusi PH itu berkata konvensyen berkenaan juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk kerajaan.
Mengenai rundingan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti, Ahmad Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Ketua Sekretariat untuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan akan memperincikan butiran yang akan dibincangkan," katanya yang juga Pengerusi BN.
Namun kata Ahmad Zahid perkara yang penting untuk Umno ketika ini ialah untuk terus mempertahankan kerajaan dengan terus mendukung sepenuhnya pimpinan Anwar sebagai perdana menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dia juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai-pegawai kerajaan di setiap negeri sepanjang Ramadan tahun ini.
''Kita akan juga libatkan rakan daripada parti di dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama menghadiri majlis (berbuka puasa ini) setiap hari di negeri berlainan,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/43e20a712e21e7ee99a1db8ceaee24e8.jpg)
