Senator cadangkan negeri contohi muafakat kerajaan perpaduan
Konsep perpaduan dan muafakat politik yang dipamerkan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim harus dijadikan contoh dalam pentadbiran setiap kerajaan negeri.
Senator Noraini Idris ketika mencadangkan perkara itu berkata konsep Kerajaan Perpaduan termasuk aspek toleransi merupakan kunci kepada politik lestari yang berupaya mewujudkan kekuatan baru seterusnya menjelmakan manfaat kepada rakyat.
"Sebab itu, kerajaan negeri perlu melaksanakan akta berkaitan antilompat parti, jika tidak wakil rakyat bebas melompat demi survival politik mereka, maka sampai bila rakyat nak berhadapan politik murahan," katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Senator Dr Mohd Hatta Md Ramli pula berkata Kementerian Perpaduan perlu mencari jalan bagi mengatasi cubaan memecah-belah, cabar-mencabar hingga menimbulkan perbalahan kaum.
“Dahulu ada usaha untuk mewujudkan undang-undang mengelakkan perbalahan antara agama dan kaum supaya ada harmoni… saya harap kementerian ini memikirkan perkara ini dan perlu disegerakan supaya kita rasa selamat.
“Kita cuba cari apa lagi kesesuaian supaya kita boleh hidup bersama, misalnya dalam konteks pembangunan kawasan baru, elakkan pembangunanan sesuatu kawasan itu daripada didominasi satu kaum,” katanya.
Sementara itu, Senator Sivarraajh Chandran mencadangkan agar kerajaan mewujudkan semula Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal India dan dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri bagi memastikan kemajuan kaum itu di negara ini.
“Jawatankuasa ini bukan sahaja akan membantu menyelesaikan isu pendidikan, malah masalah asas yang dihadapi oleh masyarakat India," katanya.
Dalam pada itu, Senator Mohd Hisamudin Yahaya mencadangkan supaya kerajaan memberikan insentif dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menggalakkan penggunaan sumber tenaga hijau sekali gus mengurangkan emisi karbon agar aspirasi mewujudkan bandar bebas karbon di Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat dicapai.
"Ini satu langkah penting dalam memerangi perubahan iklim dan memastikan kelestarian bumi kita untuk generasi akan datang, namun ia memerlukan komitmen serta kerjasama meluas daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan, industri, masyarakat setempat dan individu," katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
- Bernama
/file/1294/422fba7062b43eca73f50d920bd0aa13.jpeg)
