M'sia terbuka kerjasama dengan Afghanistan
Malaysia sedia bekerjasama bahkan meningkatkan hubungan dengan Afghanistan yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu awal bulan ini sebagai negara paling menindas dan merampas hak wanita dan kanak-kanak perempuan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pendirian Malaysia itu telah disampaikan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bersedia membantu dari segi perhubungan Malaysia dengan Kabul.
Anwar berkata bagaimanapun Malaysia tegas dalam soal pendidikan wanita dan berpendirian bahawa hak golongan terbabit ke atas pendidikan tidak boleh dinafikan.
“Masalah sekarang ini ialah sikap mereka (Taliban) terhadap pendidikan wanita, sama ada dia nak buat universiti khusus wanita ataupun sekolah khas wanita - itu pilihan mereka, tetapi tidak boleh menafikan hak wanita dalam bidang pendidikan,” katanya dalam satu sidang media di Jeddah semalam.
Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha dan delegasi OIC di Makkah selepas selesai menunaikan ibadah umrah.
Anwar yang ditemani isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, pada jam 6.40 pagi waktu tempatan.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Afghanistan yang ditadbir Taliban menghalang kanak-kanak perempuan daripada mendapat pendidikan melebihi gred enam, dan mengehadkan wanita dari ruang awam seperti taman serta gimnasium.
Bagaimanapun Jumaat lalu pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dilapor berkata pelajar perempuan akan kembali bersekolah sebaik sahaja isu dalaman di negara itu diselesaikan.
- Bernama

