MP gesa MBPJ beri penjelasan dakwaan pegawai pukul warga emas
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meminta penjelasan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBSJ) berhubung tindakan pegawainya yang dikatakan memukul seorang warga emas baru-baru ini.
Perbuatan pegawai berkenaan dirakam ketika dia cuba menangkap beberapa ekor anjing dengan batang besi penangkap anjing.
Menurut Lee, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut, selain meminta penjelasan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.
"In termasuk tatacara pegawai-pegawai yang terlíbat semasa menjalankan operasi berkenaan.
“Kami berharap siasatan yang terperinci akan dijalankan oleh pihak Unit Integriti MBPJ dan situasi ini tidak berulang pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
MBPJ dalam kenyataan memberitahu pihaknya mengambil maklum tentang video yang tular itu dan jawatankuasa siasatan dalaman telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu.
"MBPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan seandainya benar dan terbukti telah melakukan kesalahan," katanya.
Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan Dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata pihaknya telah meminta Datuk Bandar untuk menjalankan siasatan.

"Saya masih menunggu laporan itu," kata Ng kepada Malaysiakini.
Sebelum ini dilaporkan beberapa video dan gambar seorang warga emas dipukul pegawai MBPJ tular di media sosial, dengan netizen meluahkan rasa marah mereka terhadap kejadian itu.
Pegawai berkenaan dilihat memukul lelaki warga emas itu dengan batang besi penangkap anjing selepas dia cuba menghalang mereka daripada menangkap haiwan berkenaan di pejabatnya di Taman Kanagapuram.
Warga emas itu mendakwa dia dikasari oleh pegawai MBPJ berkenaan semasa operasi menangkap anjing yang dijalankan pada 22 Mac lalu.
The Star Online melaporkan Patrick Khoo, 69, membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Brickfields hari ini.
Khoo mendakwa pegawai itu meleretkan batang penangkap anjing ke bahagian kiri mukanya sehingga cedera.
Dia juga berkata pegawai berkenaan akhirnya menangkap empat ekor anjing termasuk seekor anak anjing.
Difahamkan, MBPJ menghantar semua anjing yang ditangkap ke Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Menurut laporan The Star, seorang wakil PAWS berkata MBPJ menghantar tiga ekor anjing dan seekor anak anjing pada 23 Mac, tetapi tiada sesiapa datang untuk menuntut haiwan berkenaan setakat ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/c0582e03507dfdf775ff82d86a193595.jpg)
