Asyraf Wajdi: Umno enggan toleh pada PAS yang 'angkuh'
Menganggap sudah dikhianati PAS, ketika ini tidak ada sebarang isyarat menunjukkan Umno mahu 'menoleh' ke arah parti itu, sebaliknya bertekad mengukuhkan kerajaan perpaduan yang ada.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata partinya kini hanya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjasama yang sedang terjalin sekarang.
Bahkan kata bekas ketua Pemuda Umno itu, turut mempersoalkan sikap PAS yang didakwanya bersikap "angkuh" kerana enggan mentaati pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
“Kita hari ini harus fokus seperti apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk perpaduan nasional. Bukan hanya soal Melayu Islam, tetapi juga soal negara.
“Kenapa mereka (PAS) begitu angkuh menolak titah diraja di peringkat awal? Dalam keadaan sebaliknya kita perlu fokus kepada kestabilan negara,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
Umno merupakan rakan kerjasama PAS melalui Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 Sept 2019. Ketika itu kedua-dua parti terbabit - yang pernah berseteru selama puluhan tahun - menjadi pembangkang, manakala kerajaan ditadbir oleh PH.
Bagaimanapun hubungan kedua-dua parti terbabit bermasalah dan ketegangan meningkat apabila pemimpinnya saling membuat kenyataan mengkritik antara satu sama lain.
PAS juga membuat keputusan sendiri - dan tidak merujuk kepada Umno - untuk menyertai PN di sebalik hubungan yang terjalin dalam MN.
Selepas PRU ke-15 Nov 2022, Umno - yang menjadi parti utama BN - membawa gabungan tersebut menyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, untuk menjadi perdana menteri.
Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik media sebagai berkata MN belum mati atau terkubur, sebaliknya hanya "pengsan".
Tambah ahli parlimen Kubang Kerian itu lagi, agenda PAS yang "menyatukan ummah" tidak pernah terhenti di sebalik apa yang berlaku.
Asyraf Wajdi berkata agenda yang dibawa Umno bukan sekadar perpaduan Melayu sebaliknya mengenai kepentingan negara.
Jika perpaduan Melayu-Islam menjadi agenda PAS, kata Asyraf Wajdi, sepatutnya PN tidak menolak penyertaan parti Pejuang yang memohon bergabung dengan mereka baru-baru ini
“Kalau betul mereka memikirkan soal penyatuan ummah, kenapa Pejuang tidak diterima PN pula atas alasan mengganggu pembahagian kerusi?
"Maknanya mereka (PAS dan PN) hanya memikirkan soal kerusi dan menang pilihan raya sedangkan yang sepatutnya diletakkan keutamaan adalah soal penyatuan ummah.
“Jelas sekali mereka yang cakap sendiri mengenai faktor kenapa gagalnya MN, ia hanyalah soal perebutan kuasa. Itu jawapannya,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/ebdb0694fc295167e2d49485c11367f9.jpg)
