Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempersoalkan kegagalan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang sekali lagi didakwa gagal memanfaatkan sesi soal jawab bersama perdana menteri (PMQ).

Ini, katanya susulan ketidakhadiran mereka di Dewan Rakyat ketika sesi terbabit pagi ini.

“Ketua Pembangkang (@hamzahzainudin_ YB Larut), @MuhyiddinYassin YB Pagoh dan @abdulhadiawang YB Marang sekali lagi tidak muncul dan tidak bertanya soalan bagi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

“YAB @anwaribrahim PM, YAB @DrZahidHamidi TPM, dan YAB @PetraJayaMP TPM hadir,” ciapnya di Twitter.

Fahmi turut memuat naik gambar yang memaparkan tempat duduk kosong Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin dan  Abdul Hadi Awang (Marang).

Sejak dilantik sebagai perdana menteri, Anwar mengadakan sesi MQT pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini membolehkan wakil rakyat bertanyakan soalan secara terus kepada perdana menteri manakala MQT pada setiap Khamis akan dijawab oleh menteri-menteri.