PARLIMEN | Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PM-Machang) hari in memohon agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, Anwar memberikan kenyataan tersebut semasa menjelaskan isu percukaian Yayasan Albukhary.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal surat permohonan tersebut dihantarnya ke pejabat Speaker Dewan Rakyat semalam.

“Beliau (Anwar) jawab tempoh hari di Dewan Rakyat yang mulia ini ‘kuasa mutlak.’

“Istilah mutlak yang digunakan dalam hansard ada buktinya, bahawa kuasa memberi pengampunan cukai adalah mutlak milik ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini tidak benar.

“Saya dah jelaskan dalam surat ini bahawa ia (kuasa) juga ada pada menteri kewangan dan inilah yang kami ingin Tambun (Anwar) minta maaf dan betulkan di Dewan Rakyat bahawa dia telah mengelirukan dewan, berprasangka buruk ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada 21 Mac lalu, semasa sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri, Anwar mengesahkan bahawa Lim Guan Eng tidak membatalkan sebarang pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sewaktu ahli parlimen Bagan itu menjadi menteri kewangan.

Menjelaskan hal itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukannya menteri atau perdana menteri.

Pada masa sama, Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu turut menggesa RSN Rayer (PH-Jelutong) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan bersangka jahat terhadapnya.

Ia berhubung dakwaan Rayer yang menuduhnya membuat laporan palsu terhadap Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Dia merujuk kepada laporan yang dibuat ahli Pemuda Bersatu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 24 Mac lalu terhadap Anwar Ibrahim dan Lim berkait isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Wan Ahmad Fayhsal menegaskan ketika itu, dia hanya membaca laporan polis yang dibuat ahli Armada.

“Jadi berbeza itu. Saya tak lakukan apa-apa kesalahan dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat seperti yang didakwa oleh Jelutong tadi.

“Dan juga ini saya akan buktikan kepada speaker bahawasanya Jelutong juga telah melanggari peraturan yang dibuat berkenaan hal ini,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, berdasarkan yang berlaku dalam Dewan Rakyat sebelum itu, dia akan mengusulkan Rayer untuk dirujuk ke badan berkenaan kerana membuat tuduhan tanpa asas.