Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa sabitan kerani Sam Ke Ting bagi kesalahan memandu secara melulu sehingga mengorbankan lapan remaja penunggang basikal tidak boleh bertahan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mempunyai kekurangan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili wanita itu berhujah bahawa terdapat penggandaan pertuduhan kerana pendakwa raya telah memasukkan dua kesalahan berbeza dalam pertuduhan iaitu memandu secara melulu dan memandu secara berbahaya.

"Ini salah. Hanya satu kesalahan dibenarkan di sisi undang-undang untuk dinyatakan dalam pertuduhan," katanya.

Hisyam berhujah demikian dalam rayuan Sam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya denga kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda.

Peguam itu berkata berlaku prejudis terhadap anak guamnya kerana terdapat "kegagalan keadilan" kerana dia telah disabitkan dengan pertuduhan yang tidak diiktiraf dalam undang-undang.

“Hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan Sam kerana memandu secara melulu atau berbahaya. Perayu (Sam) tidak mendapat apa yang sepatutnya dinyatakan dalam undang-undang,” katanya di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Sam, 27, pada mulanya dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 18 Nov 2019, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian remaja yang menunggang basikal diubah suai, dikenali sebagai basikal lajak.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.  Sam berusia 22 tahun ketika kejadian.

Pada 18 Feb 2021, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk Sam membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu.

- Bernama