Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rauf tepis jawab alasan pertukaran ketua menteri Melaka

Ketua menteri Melaka yang baru dilantik Ab Rauf Yusoh hari ini mengelak daripada menjelaskan mengapa dia mengambil alih pentadbiran negeri daripada Sulaiman Md Ali.

Ketika ditanya semasa sidang akhbarnya petang ini sama pertukaran ketua menteri ada kaitan dengan keputusan pemilihan Umno baru-baru ini, Rauf berkata isu itu telah "overtaken by event" (diambil alih oleh peristiwa semasa).

“Saya fikir kita tidak perlu bertanya soalan ini lagi, ia telah overtaken by event.

"Kenapa nak berpatah balik? Saya rasa semua orang dah dapat jawapan tentang faktor apa.

“Saya rasa persoalan ini tidak perlu dijawab, kerana peristiwa hari ini telah mengambil alih isu itu,” katanya.

Rauf, yang merupakan ketua Umno Melaka, bercakap pada sidang media pertamanya sebagai ketua menteri.

Ia diadakan sejurus selepas dia mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam kira-kira 3.30 petang hari ini.

Rauf mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman Md Ali, yang meletak jawatan awal minggu ini, dikatakan kerana masalah kesihatan.

Pertukaran kepimpinan Melaka diselubungi kontroversi dan mencetuskan spekulasi bahawa Sulaiman mungkin terpaksa berundur untuk memberi laluan kepada Rauf.

Spekulasi berleluasa sejak pilihan raya negeri Melaka 2021 bahawa Rauf mahu menuntut jawatan tertinggi kerajaan negeri, memandangkan kedudukannya sebagai ketua Umno negeri dan BN.

Sudah menjadi tradisi Umno dan BN untuk ketua parti negeri menjadi ketua menteri atau menteri besar negeri di bawah kawalan mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri, yang menyaksikan gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, pucuk pimpinan tertinggi parti telah memilih Sulaiman sebagai ketua menteri.

Rauf dan Sulaiman sebelum ini menafikan khabar angin mendakwa berlaku perebutan kuasa dalaman.

Terdahulu semasa sidang akhbar itu, Rauf turut memberitahu pemberita bahawa Melaka adalah negeri yang paling stabil dari segi politik di negara ini.

"Tetapi kerana pergaduhan kami telah dibawa ke media sosial, ia tidak kelihatan baik pada kami.

“Namun selepas pemilihan Umno, saya lihat keadaan sudah bertambah baik,” katanya.

Walaupun Rauf tidak mengulas lanjut, dia dipercayai merujuk kepada keputusan pemilihan parti yang menyaksikan kekalahan ramai ketua bahagian Umno yang tidak sehaluan dengannya.

Sementara itu, Rauf juga diminta mengulas mengenai bekas anggota exco kerajaan negeri Jailani Khamis yang mengkritik pertukaran kuasa sebagai 'kerajaan tebuk atap'.

Menjawab perkara ini, Rauf membalas dengan berkata: "biar kami cari rumah yang atap bocor".

Ditanya sama ada Umno negeri akan merujuk Jailani, yang juga ahli Umno, untuk tindakan tatatertib, Rauf berkata "kita tunggu dan lihat".

Lihat Komen
ADS