Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
China gesa Malaysia tolak mentaliti Perang Dingin, kata PM
Diterbitkan:  Apr 1, 2023 10:37 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Presiden China Xi Jinping menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menolak mentaliti Perang Dingin, dalam pertemuan mereka di Beijing semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Amerika Syarikat (AS) menekankan keperluan untuk mekanisme era "Perang Dingin" dengan China ketika negara itu dalam usaha menentukan sama ada kedua-duanya mampu mewujudkan semula diplomasi yang membina.

"Presiden Xi mengajak Malaysia untuk bersama membangunkan tamadun yang kuat dan berketrampilan selain menolak mentaliti Perang Dingin dengan membidak catur mana-mana negara.

"Kami bersama bersetuju untuk mencorak haluan baru dalam hubungan Malaysia-China serta terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara sahabat," kata Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya.

Selain hubungan lebih erat antara kedua-dua negara, Anwar berkata mereka turut menyentuh isu melibatkan hubungan perdagangan dan ekonomi serta projek pembangunan yang mesti diteruskan.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, dia turut menyentuh langkah dan strategi kerajaan China dalam menghadapi dan menyelesaikan isu kemiskinan di China, yang kini dilihat membuahkan hasil apabila hampir 800 juta rakyat negara itu telah dikeluarkan daripada kemiskinan.

Dia berkata Xi pula menyentuh mengenai wawasan Malaysia Madani, yang menurut presiden China itu selaras dengan hasratnya untuk berkongsi kemakmuran dan pembangunan negara.

Anwar berkata dia turut menjemput Xi untuk melawat Malaysia nanti sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Anwar kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke China yang bermula pada 30 Mac.

Ia merupakan lawatan sulung beliau ke China sejak menjadi perdana menteri dan dijangka membuka lembaran baru dalam memperkukuh hubungan strategik Kuala Lumpur dan Beijing secara lebih menyeluruh.

Lihat Komen
ADS